Sunday, May 9, 2010

Malaysia harus hidup kembali semangat berpasukan 1992

FREE MALAYSIA TODAY


RS KUALA LUMPUR: Malaysia harus menghidupkan kembali semangat juang, kesungguhan dan keazaman tahun 1992 jika sekiranya ingin meraih kejuaraan Piala Thomas yang bermula di Stadium Putra hari ini di sini.

"Semangat juang berpasukan yang disemarakkan pada 1992 dengan dibantu oleh sorakan sokongan penonton yang tidak berbelah bahagi telah membawa Malaysia merangkul kejuaraan itu," kata ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek.

Rashid yang bermain sebagai pemain perseorangan pertama pada ketika itu masih ingat detik-detik bersejarah tersebut, secara kebetulan perlawanan akhir juga berlangsung pada 16 Mei, 18 tahun lalu.

"Pasukan kami telah mengharungi pertarungan sengit pada ketika itu, dan saya berharap 16 Mei ini (di mana perlawanan akhir akan "berlangsung) merupakan petanda baik buat negara kita," ujar beliau.

Dalam perlawanan Kumpulan B hari ini, Malaysia akan menentang pasukan baru Nigeria, negara yang lebih terkenal dengan pasukan bolasepak yang layak ke Piala Dunia di Afrika Selatan bulan depan.

Malaysia dijangka menurunkan pemain perseorangan nombor satu dunia untuk perlawanan perseorangan pertama, Datuk Lee Chong Wei menentang Olaoluwa Fabgemi bermula jam 6.00 petang.

Ini diikuti dengan perlawanan beregu pertama, beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, perseorangan kedua Wong Choong Hann, beregu kedua Mohd Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif, dan akhir sekali, pemain perseorangan ketiga,

Muhammad Hafiz Hashim.

Sementara itu, dua pasukan dari benua Eropah, Denmark akan berentap dengan Poland, juga dalam kumpulan yang sama.

Dalam Kumpulan A hari ini, Indonesia bertemu Australia manakala juara bertahan China menentang Peru. Kesemuanya dalam pertandingan Piala Thomas.

Manakala dalam pertandingan Piala Uber hari ini menyaksikan Indonesia bertemu Australia, Jepun menentang Jerman, Korea Selatan bertemu Afrika Selatan dan juara bertahan China bertemu Amerika Syarikat.

No comments: