Saturday, May 8, 2010

Kereta Ketua Polis Selangor Hilang, KPI Dipertikai

Oleh Rusnizam Mahat


SHAH ALAM - Kes kehilangan kereta rasmi milik Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberi gambaran sebenar tahap keupayaan dan kecekapan pihak polis dalam membendung kadar jenayah yang begitu membimbangkan di negara ini.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Cabang Shah Alam, Hisham Shariman berkata, kejadian tersebut menimbulkan bahan jenaka di kalangan orang ramai apabila kereta Ketua Polis sendiri hilang akibat dicuri.

"Ia menimbulkan kelucuan di kalangan orang ramai dan mungkin selepas ini kita akan mendengar berita balai bomba pula terbakar. Tetapi ini lah hakikat sebenar berlaku terutama terhadap agensi keselamatan awam," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurutnya, kes itu mempamerkan kegagalan pihak polis dalam membanteras jenayah apatah lagi dalam keadaan banyak kritikan dilemparkan terhadap pasukan keselamatan itu mutakhir ini.

"Kecekapan pihak polis dipertikai termasuk dalam kes kematian membabitkan pelajar, Aminulrasyid akibat tembakan secara semborono mereka. Dalam keadaan penjenayah sebenar gagal diberkas, orang awam pula mati ditembak," katanya.

Media melaporkan, kereta rasmi Khalid yang hilang dua hari lalu telah berjaya ditemui semula di tepi Jalan Prima Damansara pada jam 8.45 pagi oleh anggota polis ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Sebuah nota turut ditinggalkan di atas dashboard kereta jenis Perdana V6 berwarna hitam itu yang berbunyi: "Sorry PDRM tersilap sapu."

Bagaimanapun sehingga kini, Polis DiRaja Malaysia, yang dikatakan antara yang 'terbaik di dunia', masih gagal mengenal pasti samada kecurian itu dilakukan oleh individu atau sindiket mencuri kenderaan dan tidak ada sebarang tangkapan dilakukan.

No comments: