Saturday, May 8, 2010

Dr Teoh Diminta Tutup Mulut Kalau Jahil Undang- undang

Oleh Frederick Luccas


SHAH ALAM - Peguam keluarga Aminulrasyid Amzah, N Surendran membidas kenyataan seorang pakar psikologi kanak-kanak, Prof Madya Dr Teoh Hsien Jin yang mengatakan kematian remaja itu adalah disebabkan kesalahan mangsa dan polis hanya bertindak mengikut keadaan.

"Dr Teoh telah memberikan komen tanpa fakta untuk menyokong kenyataannya. Persoalan saya, adakah dia layak untuk memberikan komen sedemikian? Dr Teoh jelas tidak mempunyai pengetahuan undang-undang, forensik dan balistik, kenapa memalukan diri sendiri memberikan komen sebegini?

"Beliau memberikan komen yang begitu menyinggung perasaan keluarga mangsa sedangkan dia tidak layak untuk memberi komen dalam kes ini. Adakah beliau sedar dalam keadaan yang bagaimana seorang anggota polis boleh menggunakan senjata api? Adakah Dr Teoh cuba cadangkan kalau sesiapa melanggar lampu merah, patut ditembak mati?" kata Surendran kepada Suara Keadilan sambil menegaskan kes ini tiada kaitan langsung dengan pakar kanak-kanak.

Surendran juga menambah amat jelas Dr Teoh jahil undang-undang yang perlu dirujuk bagi kes ini.

Peruntukan undang-undang yang merangkumi penggunaan senjata api dan lebih penting lagi, asas justifikasi Dr Teoh bahawa Aminul bersalah langsung tidak masuk akal.

"Ini merupakan satu intepretasi maklumat yang cukup daif, jelas menunjukkan ceteknya pemahaman Dr Teoh berhubung kes ini dan tidak masuk akal langsung hujah bahawa polis boleh menembak sesiapa atas alasan disyaki.

"Ini hanya akan menbahayakan orang awam yang membaca komen sebegini kerana boleh menyebabkan keadaan panik kepada rakyat", ," tegas beliau yang menganggap kenyataan serong sebegini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau meminta rakyat agar tidak percaya semua yang disiarkan di dalam media massa serta membuat pertimbangan yang sewajarnya dengan menggunakan sumber yang boleh dipercayai sebelum membuat sebarang kesimpulan.

No comments: