KES jenayah siber terus meningkat dan kemampuan penjenayah terbabit menembusi pelbagai tembok keselamatan sistem (firewall) untuk mencuri maklumat atau merosakkan laman web membuktikan ada ketika mereka berada selangkah di depan. Antara kebimbangan yang semakin ketara dirasakan kebelakangan ini adalah kalangan pelanggan bank yang berdepan risiko akaun internet mereka diceroboh dan wang dalamnya lesap.
Ini berlaku apabila kes pencerobohan internet membabitkan cubaan mencuri identiti pengguna termasuk kata nama dan kata laluan akaun internet meningkat 52 peratus iaitu 446 kes pada suku pertama tahun ini berbanding 214 kes bagi tempoh sama, tahun lalu. Dengan perangkaan ini, kita mungkin beranggapan ramai penjenayah siber memang licik dan masih bebas melakukan kegiatan mereka di samping kemunculan penjenayah baru. Berikutan dunia siber tidak dibatasi sempadan, keadaan semakin sulit kerana sebahagian penjenayah ialah warga asing dan berpangkalan di seberang laut.
Senario begini menuntut Bahagian Khidmat Pengurusan Kawalan Mutu Cyber Security Malaysia memperkukuhkan keupayaan pegawai serta kakitangan untuk berdepan keupayaan penjenayah siber yang entah siapa. Kepentingan melindungi maklumat pelanggan amat penting kerana bukan setakat menjaga simpanan mereka, tetapi lebih membimbangkan ialah identiti mangsa dimanipulasi untuk pelbagai jenayah. Data itu boleh digunakan sindiket jenayah siber di seluruh dunia yang antara lain membabitkan pemalsuan dokumen imigresen dan penipuan kad kredit selain transaksi wang haram atau barang terlarang lain.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.