KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan menyatakan bilangan individu yang akan dipanggil pihaknya untuk membantu siasatan berhubung dakwaan dibiayai RM4 juta bagi operasi gerak saraf PAS yang didakwa Kickdefella.
Sebaliknya, Ketua Pesuruhjayanya Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, SPRM juga berharap agar butiran siasatan berhubung isu itu tidak didedahkan kepada media.
“SPRM hanya buat siasatan. Saya harap macam kes-kes lain, bila isu dilaporkan, aduan mengenai rasuah, suspek berlakunya rasuah.
“Kita berharap jangan dimaklumkan kepada media, membolehkan kita buat siasatan yang lebih licin.
“Tapi kalau dah keluar amacm mana? Tapi kita berharaplah kita dibiarkan buat siasatan,” kata beliau sambil menambah beliau tidak akan menjawab secara terperinci.
“Siasatan adalah rahsia,” kata beliau selepas menutup kursus ‘‘Corruption Prevention and Risk Management in Public Organisations’’ di sini hari ini
Menjawab soalan tentang saksi bakal dipanggil, beliau mengulangi bahawa “seperti saya kata, saya tak akan menjawab dengan terperinci.”
“Saya tidak boleh memberitahu orang ramai butiran siasatan,” katanya lagi.
Setakat ini SPRM telah menemui Kickdefella dua kali berhubung pendedahannya.
Beliau dilaporkan mendakwa ada lima orang menjadi dalang dalam kes yang didedahkannya iaitu operasi untuk memburuk-burukkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri.
Dalam pada itu, Abu Kassim berkata SPRM bercadang untuk memberikan imbuhan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang mengambil tindakan ke atas orang yang cuba memberi rasuah kepada mereka.
Katanya, pihak kerajaan dan SPRM sedang menyediakan draf satu kaedah yang bersesuaian berhubung imbuhan tersebut sebagai pengiktirafan kepada mereka.
“Perbincangan telah dibuat dengan Jabatan Peguam Negara dan kerajaan mengenai apakah bentuk imbuhan tersebut,” katanya.
Beliau berkata dengan adanya imbuhan itu nanti ia dapat memberi kesedaran dan mendidik pegawai pegawai kerajaan tentang usaha kerajaan dan SPRM dalam memerangi rasuah.
Katanya ini kerana agensi-agensi penguatkuasaan merupakan agensi kerajaan yang paling banyak terdedah dengan rasuah bukan sahaja di negara ini malah di luar negara.
“Jika kita lihat di negara ini kini, agensi-agensi penguatkuasaan jugalah yang paling banyak melapor dan mengambil tindakan ke atas pemberi-pemberi rasuah,” katanya.
Abu Kassim, berkata jumlah tangkapan ke atas pemberi rasuah pada suku pertama tahun ini ialah sebanyak 68 orang dan pegawai kerajaan yang ditahan kerana menerima rasuah pula sebanyak 80 orang.
Katanya ini menunjukkan kempen dan usaha SPRM untuk membawa perubahan dalam masyarakat Malaysia telah disahut oleh pegawai-pegawai kerajaan.
“Jika kita lihat sepanjang tahun lepas, tangkapan terhadap orang yang memberi rasuah ialah sebanyak 108 orang, manakala pegawai kerajaan yang ditangkap kerana menerima rasuah ialah sebanyak 194 orang.
“Kita amat berbangga kerana salah satu petanda perubahan minda dan sikap dalam memerangi rasuah telah berlaku di negara ini apabila pegawai-pegawai kerajaan mula mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah,” katanya.
Beliau berkata bagi melancarkan kempen-kempen yang dilancarkan SPRM, pihaknya akan mengambil lebih ramai pegawai-pegawai baru dari bukan Melayu untuk mengisi kekosongan jawatan dalam SPRM.
Katanya ini kerana bidang tugas SPRM bukan sahaja menjalankan siasatan malah perlu memberi penerangan dan berinteraksi dengan masyarakat untuk member pendedahan mengenai rasuah.
“Sehubungan itu satu sesi temuduga terbuka akan diadakan pada 9 Mei ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur yang bertujuan untuk memperbanyakkan pegawai-pegawai bukan Melayu terutamanya kaum Cina,” katanya.
Sesi temuduga terbuka yang diadakan itu akan bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang bagi mengisi 20 kekosongan jawatan Pegawai Siasatan (P41) dan 20 kekosongan jawatan bagi Penolong Pegawai Siasatan (P29) dan keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mahir berbahasa Mandarin atau pelbagai dialek Cina.
No comments:
Post a Comment