Khamis, 9 Julai 2009

Kabinet arah Petronas perjelas isu royalti minyak Kelantan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA KRAI: Jemaah Menteri hari ini mengarahkan Petronas memberikan penjelasan terperinci berhubung isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Pas Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penjelasan itu bagi membolehkan rakyat Kelantan memahami perkara sebenar dan tidak terpengaruh dengan kenyataan pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat yang memutar belitkan isu berkenaan, khususnya ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

"Kita sudah buat keputusan dalam Jemaah Menteri hari ini kerana ada pihak yang putar belit kenyataan, Datuk Pa (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed) juga sudah memberikan penjelasan dan memang itu hakikatnya.

"Tetapi untuk lebih jelas, Kabinet buat keputusan biar Petronas menjelaskan kedudukan sebenar dari sudut Perlembagaan dan undang-undang supaya tidak ada rakyat Kelantan terpengaruh dengan kenyataan pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat kononnya kita dah menipu rakyat negeri ini.

"Mereka kata wang RM1 bilion itu tidak diberi, maka saya fikir penting supaya penjelasan yang tepat diberikan pihak Petronas berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas beramah-mesra dengan pengundi Manek Urai di Peti Undi Peria, dekat sini, petang tadi.

Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini mendakwa Kerajaan Pusat perlu membayar royalti minyak berjumlah RM1 bilion kepada Kelantan bagi pengeluaran petroleum dan gas di perairan negeri ini bagi tempoh 2004 hingga 2009.

Dalam satu ceramah di Chuchoh Puteri A, Manek Urai, malam tadi, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata Kerajaan Pusat perlu membayar royalti itu berdasarkan perjanjian antara kedua-dua pihak dan Petronas pada 1975 yang ditandatangani Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Husam mendakwa, perjanjian itu antara lain mensyaratkan Kelantan diberikan royalti lima peratus setahun dan dibayar secara tunai dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan darat dan laut.

Sebelum itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, sudah memberikan penjelasan yang kerajaan negeri tidak layak mendapat royalti daripada pengeluaran petroleum itu kerana ia terletak di kawasan bertindih antara Malaysia, Vietnam dan Thailand.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, setiap tahun Petronas memberi sehingga RM30 bilion kepada Kerajaan Pusat dan wang itu digunakan untuk memajukan seluruh negara.

"Pelantar minyak dalam lingkungan 100 hingga 200 kilometer (70 hingga 150 batu nautika) dari persisir pantai dan terletak di perairan antarabangsa, ia adalah hak Kerajaan Pusat dan tidak timbul soal tuntutan royalti di pihak Kerajaan Kelantan.

"Jadi kalau kata kita tak bagi royalti, itu tak betul... tak diberi secara langsung, kita bagi secara tak langsung, tetapi apa hasil yang diperoleh itu bukan hasil Kerajaan Negeri Kelantan," katanya.

Mengenai pilihan raya kecil Manek Urai, Muhyiddin berkata, kesepakatan yang ditunjukkan jentera BN kini berada pada tahap terbaik dan isu kononnya berlaku perpecahan dalam Umno bahagian Kuala Krai sengaja ditimbulkan parti lawan bagi mengganggu-gugat usaha BN mendapatkan sokongan rakyat.

"Saya nak sebut, sudah sampai fasa kedua pilihan raya kecil ini, Datuk Ramzi (Abd Rahman, Ketua Umno bahagian Kuala Krai) memberikan sokongan kuat dan ini menunjukkan masalah dalam bahagian tidak timbul, ia diputar-belit pihak di sana, mana ada... perkara itu tidak berlaku," katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam yang berharap kempen pilihan raya kecil Manek Urai berjalan dalam keadaan aman dan mesra, Muhyiddin berkata, BN sentiasa mengamalkan kempen secara 'gentleman' supaya rakyat tidak terganggu atau berasa takut untuk keluar mengundi.

"Sebenarnya kita (BN dan Pas) tidak ada perselisihan apa-apa, ini pilihan raya dan kita nak melihat amalan sihat demokrasi yang segar, atas dasar itu nasihat Perdana Menteri cukup baik dan kita nak semua pihak bekerjasama dan jangan ada taktik kempen yang boleh menyebabkan rakyat rasa terganggu dan tergugat," katanya.

Tiada ulasan: