Wednesday, April 22, 2009

Foto mesra kerabat-model muncul

MALAYSIA KINI


Setelah seorang kerabat Kelantan didakwa mencederakan isterinya Manohara Odelia Pinot, bekas model muda Indonesia, kini tiba-tiba muncul foto-foto mesra pasangan diraja tersebut.

Koleksi foto-foto tersebut kelihatan seperti majlis rasmi wanita muda itu yang turut disertai suaminya di negeri berkenaan.

Selain blog yang aktif, muncul juga blog yang baru dibangunkan secara misteri untuk memuatkan foto-foto tersebut.

Dalam Truth Appeared yang dibina 13 April lalu, satu siri foto menunjukkan Manohara Odelia sedang menikmati sajian bersama suaminya diterbitkan semalam.

Dengan judul 'Mangsa penculikan suami?', blog yang tidak dikenali itu menyebut:

"Inilah wajah terbaru, Manohara dan (nama tidak didedahkan - editor) (suami yang sah) setelah pulang dari umrah.

"Bagaimana mungkin dituduh penculik. Awas berita palsu dari Indonesia."

Dalam siaran pertamanya, Truth Appeared menerbitkan satu siri foto yang dianggap menunjukkan kemesraan pasangan tersebut, di samping kehadiran Manohara Odelia di satu majlis kemasyarakatan.

Ia juga memuatkan foto wanita itu sedang bersantai, dikatakan di Lojing, Kelantan.

Ibunya Daisy Fajarina dilaporkan berkata foto-foto tersebut koleksi lama.

"Itu kan foto-foto dokumentasi. Sudah lama," wanita itu dipetik akhbar Surya hari ini.

Manakala satu lagi blog yang dilaporkan memuatkan foto-foto tersebut tidak lagi memuatkan koleksi gambar pasangan diraja itu.

Foto-foto itu kini disebarkan secara lebih meluas di Indonesia dan Malaysia bersama dengan foto-foto lama Manohara Odelia, termasuk sewaktu beliau belum berkahwin, Ogos tahun lalu.

Sementara seorang pemimpin Umno, Mohd Soberi Shafii berkata beliau terkejut dengan berita dari media Indonesia yang memburukkan kerabat tersebut.

Bekas petugas di ibu pejabat Umno mendakwa beliau bersama dengan kerabat itu dan Manohara Odelia dalam sebuah kenderaan dalam perjalanan pulang bercuti dari Bukit Fraser, Pahang sewaktu mendengar berita tersebut seperti dimuatkan Malaysiakini semalam.

Usaha mendapatkan reaksi istana Kelantan setakat ini gagal.

Sewaktu dihubungi, seorang kakitangan istana berkata pada kebiasaannya, kenyataan akhbar akan diberikan apabila Sultan mengeluarkan titah baginda.

Memetik sumber akhbar berpangkalan di Surayabaya, Malaysiakini melaporkan wanita itu didakwa dilarikan oleh kerabat tersebut selepas mengerjakan umrah.

Dalam akhbar yang sama, Daisy juga mendakwa anaknya pernah dilukakan di bahagian dada.

No comments: