Memaparkan catatan dengan label KRISIS PERLIS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KRISIS PERLIS. Papar semua catatan

Rabu, 17 Jun 2009

Ismail: Fenomena bekas Umno Perlis sertai PKR berterusan

Muda Mohd Noor


Semakin ramai ahli dan penyokong Umno di Perlis akan menyertai PKR dalam tempoh terdekat ini, kata seorang bekas pemimpin Pemuda Umno Perlis.

Ismail Hashim menambah, kini satu demi satu cawangan parti pembangkang ditubuhkan oleh bekas ahli Umno.

"Hujung minggu ini mereka menubuhkan tiga cawangan PKR dalam DUN Pauh," katanya.

DUN itu diwakili oleh Datuk Seri Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail, adinda Raja Perlis.

Ismail, juga bekas ketua penerangan Pemuda Umno bahagian Arau, berkata bekas ahli-ahli Umno di DUN Chuping juga akan mengambil tindakan yang sama.

"Selang tidak lama kemudian, cawangan-cawangan PKR akan ditubuhkan di DUN Titi Tinggi dalam parlimen Padang Besar," katanya.

Beliau berkata, perkara itu berlaku kerana ahli-ahli Umno sudah hilang keyakinan terhadap Umno negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu.

Tambah Ismail, yang dikaitkan dengan bekas ketua penerangan Umno negeri Hashim Suboh yang kini terpinggir dalam politik parti itu, fenomena ahli Umno keluar parti dan menubuhkan cawangan PKR akan berterusan sehingga pilihanraya umum akan datang.

Menurutnya, kira-kira 300 bekas ahli Umno dalam DUN Pauh akan menyerahkan borang keahlian mereka kepada ahli parlimen PKR Sungai Petani, Johari Abdul di sebuah hotel di Kangar, Sabtu ini.

Satu sumber PKR negeri mengesahkan program tersebut tetapi tidak pasti dengan jumlah penyertaan ahli-ahli Umno itu.

Ismail juga mendakwa seorang bekas ahli jawatankuasa Umno Arau akan menyerahkan borang permohonan tersebut kepada Johari, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dilantik pemimpin angkat PKR Perlis.

Katanya, mereka akan menubuhkan tiga cawangan PKR - bandar Arau, Padang Telela dan Kubang Siput - dalam masa terdekat.

Manakala 105 bekas ahli Umno yang tidak puas hati dengan mesyuarat cawangan dan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) akan menubuhkan cawangan PKR di Chuping.

Ismail menambah, ahli-ahli Umno Perlis juga tidak puas hati dengan tindakan menteri besar melantik bekas ahli Parti Melayu Semangat 46, Datuk Idrus Kassim sebagai setiausaha sulit kanan.

“Manakala Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad selain menjadi ketua penerangan Umno Perlis telah dilantik sebagai penasihat kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya lagi, ada ahli Umno yang berpendapat “lebih baik menjadi ahli pembangkang daripada menjadi ahli Umno”.

Syarat Hashim Suboh sertai pembangkang...

Muda Mohd Noor


Bekas ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, beliau akan hanya menyertai pembangkang jika optimis mereka dapat membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Katanya, beliau tidak mahu menyertai pembangkang sekadar mahu menjadi pengkritik kerajaan sedia ada sekarang.

"Ketika ini saya masih melihat gelombang tidak puas hati terhadap Umno negeri yang berlaku di peringkat akar umbi.

umno perlis pc 120308 hashim suboh"Saya hendak tengok gelombang ini berterusan, tetapi saya cukup yakin sokongan kepada saya cukup kuat.

"Ketika ini saya menunggu dahulu, sampai masa saya akan pergi juga," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan politik Umno Perlis sekarang.

Hashim mendakwa, di bahagian Kangar, Menteri Besar, Md Isa Sabu yang juga ketua bahagian berkenaan, hanya mempunyai kira-kira 55 peratus sokongan ahli Umno bahagian tersebut.

"Manakala 45 peratus lagi menyokong saya. Jika saya ada kuasa, saya mampu memberi sumbangan yang lebih besar daripada orang yang sedang berkuasa atau orang yang pernah memegang kuasa," katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini tidak ada pihak di kalangan ahli Umno yang mencerca hasratnya untuk menyertai pembangkang.

Hashim berkata, beliau sudah hilang keyakinan kepada sistem dalam Umno terutama di Perlis.

Di samping itu, katanya, beliau juga sedang menekuni reaksi ahli-ahli Umno di peringkat bawahan.

Selasa, 2 Jun 2009

Usaha terancang rosakkan Umno Perlis?

MALAYSIA KINI


Pergerakan Pemuda Umno cawangan Bandar Arau mendakwa wujudnya usaha terancang yang berterusan untuk merosakkan institusi parti itu di Perlis oleh sebilangan pemimpin Umno yang kecewa.

Sehubungan itu, ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar menyifatkan kenyataan pengerusi tetap Pemuda Umno bahagian Arau, Ismail Hashim, dalam Malaysiakini semalam sebagai "suatu publisiti murahan dalam usaha menangguk di air yang "dikeruhkan" oleh beliau sendiri.

Beliau juga mendakwa, Ismail melakukannya dengan sokongan seorang dua pemimpin usang dalam Umno bahagian dan negeri di Perlis.

Semalam, Ismail mendakwa kira-kira 500 ahli Umno dalam bahagian Arau akan meninggalkan parti jika bekas ketua penerangan Umno negeri, Datuk Hashim Suboh berbuat demikian.

Ismail yang juga bekas ketua penerangan Pemuda Umno bahagian Arau , berkata, mereka adalah ahli Pemuda dan bekas ahli pergerakan itu dalam DUN Tambun Tulang yang diwakili oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengulas perkara itu, Syed Atif berkata, angka 500 itu tidak munasabah kerana berdasarkan sejarah Umno di kawasan tersebut tidak pernah berupaya mengumpulkan ahli seramai itu bagi menyokong program-program Pemuda sejak lima tahun lalu.

Beliau juga menyifatkan ura-ura penubuhan cawangan PKR dalam DUN Pauh kerana didakwa ada ahli dan pemimpin UMNO cawangan akan melompat parti sebagai "omongan politik terancang" untuk kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu yang menurutnya "kemaruk memegang jawatan penting dalam parti dan kerajaan".

'Strategi beri kail'


"Hakikatnya, pendekatan baru ADUN Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail menekankan aspek "lebih baik memberi kail daripada memberi ikan". telah membuka
dimensi baru kepada penduduk Pauh khususnya golongan muda.

"Pendekatan memberi "kail" ini telah membolehkan ikan dipancing berulang-kali sekiranya seseorang individu itu berusaha.

"Sebaliknya tindakan memberi "ikan" telah membawa kepada suatu budaya meminta-minta yang dikutuk oleh agama," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Atif berkata, pendekatan tersebut - supaya masyarakat di Pauh lebih banyak bekerja dari bercakap - menyebabkan golongan yang gemar meminta-minta itu tidak senang duduk.

"Ini kerana mereka bukan hanya semata-mata mengharapkan "ikan" diberi kepada mereka, malah mahukan ikan tersebut digoreng dan disuap ke mulut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno cawangan bandar Arau mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang boleh disifatkan sebagai musuh dalam selimut untuk mengocak damai dalam parti dan kerajaan.

"Ia sekaligus membantutkan usaha parti dalam memperkasakan kembali Umno dan Barisan Nasional menjelang pilihanraya umum yang akan datang," tambahnya.

Sehubungan itu, Syed Atif berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pemimpin mahupun ahli Umno di Bahagian Arau untuk melompat

bagi membersihkan organisasi parti daripada "gunting-gunting dalam lipatan" dan mempermudahkan kepimpinan Umno negeri merencana strategi bagi memulihkan imej parti.

"Pemuda Umno cawangan Bandar Arau berkeyakinan penuh bahawa survival Umno di Perlis bergantung kepada dokongan ahli-ahli yang berkualiti, biarpun dalam jumlah yang sedikit, sebagaimana saranan Soekarno - berikan aku 10 pemuda, akan ku angkat gunung Semeru -," katanya.

Jumaat, 29 Mei 2009

Cawangan PKR Perlis makin bertambah

Abdul Rahim Sabri


PKR akan menubuhkan cawangan keenam di Perlis - di Parlimen Kangar - ekoran kemasukan 160 ahli baru dari kalangan masyarakat bukan Melayu di situ semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi PKR negeri Johari Shafie berkata, kebanyakan mereka dari DUN Sena, yang terletak dalam parlimen Kangar.

Mereka turut menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama dengan 470 ahli Umno di DUN Kuala Perlis yang menyertai PKR semalam.

Majlis penyerahan borang itu berlangsung di rumah salah seorang ahli Umno yang menyertai PKR yang dikenali sebagai 'Pak Omar'.

Sehingga ini, sudah terdapat tiga cawangan PKR di Parlimen Kangar. DUN Kuala Perlis juga terletak dalam parlimen yang sama.

Dua lagi cawangan PKR ialah masing-masing satu di Padang Besar dan Arau.Kemasukan 630 ahli baru itu melebihi daripada jangkaan sebelum ini.

Pengundi atas pagar

Sebelum ini dilaporkan kira-kira 320 ahli Umno dari DUN Kuala Perlis akan menyertai PKR dan sekaligus menubuhkan cawangan pertama PKR di situ.

Borang keahlian 470 ahli Umno DUN Kuala Perlis menyertai PKR itu, diserahkan kepada Anwar oleh bekas ahli jawatankuasa Umno Kangar, Shaari Ludin.

Manakala borang keahlian 160 ahli baru dari Parlimen Kangar itu diserahkan kepada Anwar oleh ahli jawatankuasa PKR negeri, Ko Chu Liang bagi pihak masyarakat bukan Islam itu.

Dalam majlis tersebut juga, Anwar turut memberi penerangan berhubung perjuangan PKR kepada ahli-ahli baru dan menggesa pengundi atas pagar menyokong parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, PKR Perlis juga telah mengedarkan kira-kira 50 borang keahlian kepada ahli-ahli di Pauh yang telah menyuarakan minat mereka untuk menyertai parti itu.

Menurut Johari lagi, beliau telah mengedarkan borang tersebut minggu lalu.

"Insya-Allah, kita akan dapat balik borang daripada mereka," katanya.

Barisan Nasional memenangi DUN Pauh dalam pilihanraya umum lalu dan diwakili oleh adinda Raja Perlis, Syed Razlan Jamalullail.

Rabu, 27 Mei 2009

Perlis: Anwar terima borang 320 ahli Umno

Abdul Rahim Sabri


Kemelut politik dalaman Umno di Perlis dilihat semakin meruncing apabila 320 ahli Umno di Kuala Perlis secara rasmi akan menyerah borang keahlian mereka menyertai PKR esok.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima sendiri borang keahlian mereka untuk menyertai parti itu.

Dengan kemasukan mereka, maka PKR berjaya menembusi kubu kuat Umno, khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Yang lebih menarik ialah DUN Kuala Perlis terletak dalam Umno bahagian Kangar, yang diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu.

Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie berkata, majlis tersebut akan diadakan di rumah salah seorang ahli Umno yang akan menyertai PKR esok.

Menurutnya, ini adalah kali pertama PKR dapat menubuhkan cawangannya di DUN berkenaan.

Pada masa ini, terdapat empat cawangan PKR di Perlis dengan jumlah keahlian lebih 1,200 orang.

Dengan penubuhan cawangan baru di DUN Perlis itu, PKR akan mempunyai lima cawangannya di negeri itu, katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Penyertaan ahli Umno esok sekaligus menunjukkan perkembangan PKR di negeri ini," katanya.

Isnin, 25 Mei 2009

Penyokong 'rasa tertipu' mainan Umno

Muda Mohd Noor


Bekas ketua penerangan Umno Perlis mendakwa ramai ahli parti itu termasuk di kalangan Pemuda bersedia meninggalkan parti itu jika beliau berbuat demikian.

"Respons awal ialah mereka akan meneliti perkara itu dan sedia bersama saya.

"Mereka berkata kalau Datuk Hashim lompat, mereka akan lompat juga," kata Datuk Hashim Suboh hari ini.

Beliau mendakwa, kebanyakan mereka juga "berasa tertipu" dengan permainan politik Perlis sekarang bawah barisan kepemimpinan baru sejak Mac tahun lalu.

Beliau juga mendakwa, ketua penerangan Umno negeri yang baru Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad "tidak pandai menjalin hubungan dengan orang lain".

Katanya, keadaan ini boleh menjejaskan imej parti terutama ada kumpulan yang tidak senang dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seru Md Isa Sabu.

"Umno Perlis menjadi kacau bilau kerana tindakan-tindakan bekas setiausaha agung Umno itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Radzi di sebuah akhbar hari ini yang menganggap laporan di internet bahawa ramai ahli Umno Perlis menyertai pembangkang adalah "gimik politik murahan demi meraih populariti peribadi sebagai membantah kepemimpin Umno negeri".

Hashim berkata, perkara ini akan menjadi lebih besar jika ia tidak diselesaikan dengan segera.

Orang kanan bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim itu juga kecewa dengan dakwaan Radzi bahawa laporan media bahawa ramai ahli Umno Perlis telah dan akan menyertai pembangkang "didalangi oleh individu tertentu yang mensabotaj parti ketika kempen pilihanraya umum tahun lalu".

Hashim menambah, untuk membuktikan dakwaan tersebut benar atau tidak, ahli parlimen Kangar perlu bertemu dengan mereka yang berpaling tadah.

"Tanya mereka sendiri mengapakah mereka keluar Umno. Jawabannya, kerana (mereka) meluat dengan Radzi," katanya.

Jumaat, 22 Mei 2009

Shaari: Mengapa saya keluar Umno

Abdul Rahim Sabri


Bekas ahli jawatankuasa bahagian Kangar, Shaari Ludin berkata beliau meninggal Umno untuk menyertai PKR dua bulan lalu, kerana mahu menyedarkan kepimpinan Umno tentang kelemahan parti itu sekarang.

Beliau juga turut menyalahkan kepimpinan tertinggi Umno yang didakwanya 'lari dari matlamat perjuangan asal Umno" sehingga mendorong beliau beralih kepada pembangkang.

"Saya nak beri 'getaran' kepada Umno, bahawa saya dapat menarik ramai ahli parti itu untuk turut serta masuk PKR, supaya mereka sedar kelemahan diri.

"Saya sudah lama dalam Umno, saya masuk PKR, sebab kepimpinan Umno sudah jauh menyimpang.

"Kepimpinan tertinggi Umno telah lari dari matlamat perjuangan asal Umno sendiri," kata Shaari ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilapor mengesahkan terdapat ahli Umno di negeri itu yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti itu sejak bulan lalu.

Menurut Shaari lagi, beliau menyertai PKR atas kerelaan beliau sendiri dan diikuti oleh ahli-ahli Umno yang lain, yang juga tidak puashati dengan parti itu sekarang.

Boleh cecah 1,000 orang

Seingatnya, kata Shaari, sehingga bulan April lalu, 500 hingga 600 ahli Umno sudah menyertai PKR.

"Kesemua mereka adalah penduduk di DUN Kuala Perlis yang terdiri daripada kaum Melayu dan Cina," tambahnya.

DUN Kuala Perlis terletak dalam Parlimen Kangar. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu adalah ketua Umno bahagian Kangar.

"Saya bukan tarik mereka (menyertai PKR), saya masuk atas kehendak diri sendiri.

"Mereka ramai-ramai minta borang (keahlian PKR)," katanya sambil menambah jumlah tersebut boleh mencecah 1,000 orang.

Ditanya sama ada beliau menerima sebarang ugutan atau sabotaj selepas menyertai PKR, Shaari berkata:

"Tidak ada sebarang sabotaj sebab saya orang bukan orang kuat dalam Umno. Bagi mereka (Umno) saya tak ada apa-apa. Bagi mereka saya orang kecil," katanya.

Gagal dapat hak milik

Shaari juga mendakwa penduduk di Kuala Perlis terutama di Kampung Seberang Tok Pi yang pernah memohon hakmilik tanah daripada kerajaan negeri, kecewa kerana sehingga hari ini belum diluluskan.

Sebelum ini, katanya penduduk di kampung tersebut pernah kehilangan tempat kediaman dalam dua kebakaran sebelum ini.

"Sekarang ini penduduk kampung tinggal di rumah yang didirikan di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Ia rumah kayu seperti rumah panjang yang dikenali sebagai rumah pelangi.

"Bekas tapak tanah mereka telah dibangunkan, jadi mereka tak ada harapan nak pulang (ke situ).

"Di mana mereka nak tinggal jika JPS ambil balik tanah itu?" soal Shaari.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilaporkan sebagai berkata memang terdapat ahli Umno, yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti tersebut sejak bulan lalu.

Katanya, kebanyakan mereka dari bahagian Kangar, terutama di DUN Kuala Perlis dan setakat ini pihaknya sudah menerima hampir 200 borang keahlian.

Manakala mantan menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata mereka yang menyertai PKR termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri.

Rabu, 20 Mei 2009

Umno Perlis bergolak, ada usaha burukkan imej Isa Sabu

Bashir Ishak


KANGAR - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melihat desas-desus penyertaan 1,000 orang ahli Umno Bahagian Kangar ke dalam KeADILan sebagai satu mainan politik kotor dalaman Umno sendiri.

Menurut beliau, perkara ini ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Md Isa Sabu yang baru dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri baru-baru ini.

"Saya menyifatkan ini adalah satu usaha untuk mencalar imej Md Isa yang baru dilantik menerajui Umno Perlis serta jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagaian Kangar.

"Ini adalah satu permainan politik dalaman Umno oleh pihak tertentu yang bertujuan menjatuhkan sesama mereka. Berita ini ditimbulkan sebagai satu usaha membantah pelantikan Md Isa Sabu sebagai Pengerusi Umno negeri yang baru.

"Dengan beberbuat demikian ianya akan dilihat seolah-olah Md Isa gagal mengawal parti dengan baik," katanya.

Apapun, Ustaz Hashim tidak menolak adanya kemasukan ahli-ahli Umno ke dalam KeADILan.

"Saya difahamkan memang ada yang masuk parti KeADILan. Kami mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam parti sahabat kita. Apapun yang berlaku saya melihatnya sebagai masalah dalaman Umno itu sendiri," ujarnya lagi. - mns_