Rabu, 28 Julai 2021

Warga pendidikan terima vaksin sebelum 1 September

KUALA LUMPUR: Semua warga pendidikan akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, sebelum sesi persekolahan dibuka pada 1 September ini.

Komitmen itu dinyatakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, ketika menggulung sesi perbahasan mengenai Program Vaksinasi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

"Saya dan Menteri Pendidikan (Datuk Dr Mohd Radzi Jidin) memberi jaminan, semua warga pendidikan akan diberi vaksinasi sebelum sekolah bermula," katanya.

Sehingga 27 Julai lalu, Khairy berkata, seramai 303,682 guru (73.5 peratus), 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi guru peperiksaan Tingkatan Lima dan Enam, seramai 80,717 guru (90 peratus) sudah divaksin, yang disifatkan beliau amat menggalakkan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin. - Foto BERNAMA
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan 
(PICK), Khairy Jamaluddin. - Foto BERNAMA

Selain itu, katanya, bagi sekolah swasta, seramai 12,894 guru (66.8 peratus), 4,367 guru peperiksaan (58 peratus) dan 3,026 kakitangan sokongan (54 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam memastikan bilangan guru, anggota kumpulan pelaksana dan perkhidmatan sokongan kontrak yang terdiri daripada pegawai keselamatan, pekerja pembersihan, operator kantin dan pemandu bas serta van sekolah yang belum mendapat janji temu lagi dapat segera dikenal pasti untuk membuat penjadualan janji temu," katanya.

Khairy mendedahkan, terdapat sebilangan guru yang menolak vaksin dan beliau meminta pihak pentadbir sekolah membuat capaian kepada golongan itu supaya jangkitan COVID-19 tidak berlaku selepas sekolah dibuka.

Tiada ulasan: