Ahad, 11 Julai 2021

Warga emas nyaris maut, pokok durian tumbang ditiup angin

Pihak bomba menghabiskan lebih dua jam untuk mengalih dan memotong pokok 
durian sebesar dua pemeluk yang berusia 50 tahun. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Seorang warga emas nyaris maut apabila sebatang pokok durian berhampiran rumahnya tumbang dalam kejadian angin kencang di Kampung Gertak Sanggul, Bayan Lepas, dekat George Town, Pulau Pinang.

Dalam kejadian 2.30 petang tadi, Tan Liang Sin, 63, berada di dapur rumahnya apabila pokok itu tumbang dan terkena bahagian stor berhampiran dapurnya.

Lelaki terbabit luka di badan dan tangan, manakala isteri serta anak perempuannya yang berada di ruang tamu tidak cedera.

ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, bahagian dapur dan stor rumah mangsa mengalami kerosakan teruk.

Susulan itu, pihaknya membantu mangsa memasang kain kanvas di bahagian berkenaan bagi mengelakkan rumah dimasuki air hujan buat sementara, sebelum kerja membaik pulih serta pemasangan bumbung dijalankan.

“Ekoran itu, mangsa terkena serpihan pokok yang tumbang dan mengalami calar dan luka di bahagian badan serta tangan. Dia hanya dirawat di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, pihak bomba menghabiskan lebih dua jam untuk mengalih dan memotong pokok durian sebesar dua pemeluk yang berusia 50 tahun itu.

Tiada ulasan: