Jumaat, 9 Julai 2021

Top Glove disiasat pindah 1,600 pekerja ke hotel sebelum PKPD

Top Glove didakwa memindahkan 1,606 pekerjanya dari asrama mereka di 
Bandar Sunway, Petaling Jaya selepas kerajaan mengumumkan PKPD akan 
dikuatkuasakan mulai 3 Julai lalu. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Polis Selangor memulakan siasatan ke atas pengeluar sarung tangan Top Glove Corp Bhd kerana memindahkan lebih 1,000 pekerjanya ke lapan hotel sebelum perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, syarikat itu memindahkan 1,606 pekerjanya dari asrama mereka di Bandar Sunway, Petaling Jaya selepas kerajaan mengumumkan PKPD akan dikuatkuasakan mulai 3 Julai.

Mereka dipindahkan ke lapan hotel berbeza, juga di Selangor. Pekerja itu sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan polis tidak membenarkan mereka meninggalkan hotel berkenaan.

Motif di sebalik pemindahan itu tidak diketahui.

Arjunaidi memberitahu FMT, pengurusan Top Glove sudah memberi keterangan mereka kepada polis berhubung perkara itu dan siasatan masih dijalankan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan hasad dengki untuk menyebarkan penyakit berbahaya.

Kesalahan di bawah Seksyen 270 boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam satu video tular baru-baru ini, seorang wanita mendakwa peningkatan kes Covid-19 di Selangor berpunca daripada sebuah kilang sarung tangan yang memindahkan pekerjanya dari asrama mereka ke hotel di Klang. Beliau turut mendakwa ada pekerja yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Tiada ulasan: