Ahad, 18 Julai 2021

Tindakan tegas terhadap individu cuba rentas negeri balik beraya, kata Bukit Aman

Azisman Alias berkata, rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan dan tindakan 
undang-undang akan diambil kepada mereka yang degil. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha, Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias berkata, kebenaran rentas negeri hanya diberi kepada mereka yang mempunyai urusan kecemasan.

“Saya percaya semua sekatan jalan raya (SJR) yang diaturkan oleh Ketua Polis Negeri (masing-masing) dan (semua) Ketua Polis Daerah telah bersedia untuk mengawal rentas daerah dan negeri.

“Rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan, mana yang degil, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan orang awam yang dikatakan merentas negeri bagi tujuan untuk pulang sempena sambutan Aidiladha kali ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, keadaan aliran trafik di SJR di Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan tiada kesesakan.

“Mereka yang melalui SJR ini mempunyai dokumen sama ada untuk urusan pengambilan vaksin atau pun mereka yang mempunyai surat (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri – MITI).

“… dan sekiranya berlaku sedikit kesesakan, adalah perkara biasa disebabkan petugas kami akan buat pemeriksaan secara lebih terperinci melibatkan dokumen yang mereka miliki,” katanya kepada Bernama selepas membuat tinjauan di Plaza Tol Bentong, Pahang.

Sementara itu, di Kota Bharu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Abdullah Muhammad Piah berkata keadaan semasa trafik yang memasuki negeri itu adalah terkawal walaupun berlaku peningkatan lima peratus jumlah kenderaan seperti dilaporkan semalam.

Beliau menjelaskan peningkatan itu hanya berlaku di pintu sempadan di Jeli iaitu kenderaan yang datang dari arah utara, manakala situasi trafik di Gua Musang dan Pasir Puteh sama seperti hari biasa dalam tempoh pelaksanaan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, ketika ini.

Tiada ulasan: