Khamis, 22 Julai 2021

Tiga petugas klinik pengsan dalam ambulans

 Oleh NOR AINNA HAMZAH

PASUKAN Hazmat melakukan pemeriksaan terhadap sebuah ambulans yang dinaiki empat mangsa dalam kejadian dipercayai kebocoran gas dalam ambulans di Hospital Port Dickson, hari ini. - Foto MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON – Tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Chuah dekat sini pengsan sebaik tiba di Hospital Port Dickson dipercayai disebabkan kebocoran gas di dalam ambulans ketika membawa rakan setugas mereka yang pengsan di Klinik Kesihatan berkenaan pagi tadi.

Dalam kejadian berkenaan, petugas yang pengsan di Klinik Kesihatan berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun yang dikejarkan ke hospital pula disahkan meninggal dunia.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar, tiga petugas lelaki yang pengsan atau tidak sedarkan diri itu pula dianggarkan berusia 30-an.

“Pada awalnya, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 9.30 pagi tadi yang memaklumkan terdapat kebocoran gas di Klinik Kesihatan berkenaan dan bomba telah bergegas ke lokasi bagi pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan bagaimanapun mendapati tiada kebocoran gas berlaku di premis tersebut.

“Kami difahamkan, seorang petugas klinik rebah di foyer klinik tersebut sebelum tiga rakan sekerja mangsa membantu membawa mangsa ke hospital menggunakan sebuah ambulans.

“Bagaimanapun sebaik tiba di hospital kesemua mangsa didapati pengsan dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di klinik kesihatan tersebut.- K! ONLINE

Tiada ulasan: