Isnin, 19 Julai 2021

‘Tiba-tiba ramai pula datang beli bola golf’

 Oleh AMRAN MULUP

HASNOOR Husin (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada Jaafar Leman di Jalan Gapam berhampiran Kelab Golf Tiara & Country Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

MELAKA: Keperitan hidup penjual bola golf terpakai, Jaafar Leman, 66, mula mendapat perhatian ramai sejak awal pagi semalam, setelah kisahnya disiar­kan Mingguan Malaysia.

Ramai pemain golf dari seluruh Melaka datang membeli bola golf dan tidak kurang pula yang hadir untuk menyampaikan bakul makanan.

Seperti kebiasaan rutinnya bermula pukul 9 pagi, Jaafar dan isterinya, Armiza Mokhtar, 47, terkejut menerima kunjungan orang ramai dan pembeli yang tidak putus-putus.

“Alhamdulillah rezeki saya hari ini memang tidak jangka. Tiba-tiba ramai kaki golf singgah beli bola.

“Ada juga datang bawa ba­rang­an keperluan makanan dan ada bagi wang belanja untuk saya dan isteri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang datang membantu saya, hanya Allah dapat membalas budi tuan-tuan semua,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jalan Gapam, Ayer Keroh di sini.


JAAFAR Leman (tiga dari kanan) dikunjungi ramai pemain 
golf yang menyampaikan sumbangan di Jalan Gapam 
berhampiran Kelab Golf Tiara & Country Ayer Keroh, 
Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Terdahulu akhbar ini mela­porkan, meskipun kelab-kelab golf tidak beroperasi hampir dua bulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh, namun seorang
warga emas tetap meneruskan rutin hariannya menjual bola golf terpakai demi sesuap nasi.

Setiap hari, Jaafar dan Armiza yang juga orang kurang upaya (OKU) berniaga di tepi jalan berhampiran Kelab Golf Tiara & Country Ayer Keroh di sini.

Dalam pada itu, turut me­nyam­paikan sumbangan ialah Yang Dipertua Majlis Perban­daran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shahdan Othman; Timbalan Pengerusi Melaka Sentral, Datuk Hasnoor Husin dan
Pengerusi Penyelaras Dewan Un­dangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Shahrin Muharam.

Jaafar menambah, semalam dia memperoleh kira-kira RM500 hasil jualan bola golf terpakai, selain sumbangan daripada orang perseorangan dan kelab-kelab golf.

“Wang sumbangan ini dapatlah saya membayar tunggakan sewa rumah tiga bulan,” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: