Rabu, 14 Julai 2021

Tiada keperluan laksana vaksin campuran, kata Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM tidak boleh mengesyorkan kaedah itu 
 jika tiada bukti kerana ia perlu memastikan pemberian vaksin yang selamat 
kepada orang ramai.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang untuk melaksanakan pemberian dua jenis vaksin Covid-19 kepada seorang penerima berikutan tiada data kukuh mengenai kaedah itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak menerima sebarang data, laporan atau bukti daripada syarikat pembuat vaksin mengenai kaedah campuran vaksin yang berjaya mengawal jangkitan Covid-19.

“Kita masih memerhatikan keadaan ini (campuran vaksin) kalau ada keperluan untuk melaksanakannya. Buat masa ini, tiada keperluan lagi.

“Terutama kalau campur vaksin barat dan timur contoh seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, tiada bukti lagi ia berjaya, ” katanya dalam sidang media khas di sini, semalam.

Beliau berkata, KKM tidak boleh mengesyorkan kaedah itu jika tiada bukti kerana ia perlu memastikan pemberian vaksin yang selamat kepada orang ramai.

“Jika ada kajian baharu, kita boleh nasihatkan sama ada boleh campur vaksin atau tidak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Thailand bakal memberikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca sebagai suntikan dos kedua kepada individu yang menerima Sinovac sebagai dos pertama, yang merupakan sebahagian daripada strategi imunisasi negara itu.

Hisham juga berkata, kadar vaksinasi negara perlu ditingkatkan sehingga ke tahap 40% bagi mengurangkan atau melandaikan kes baharu jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, ia perlu dilaksanakan segera kerana pada masa ini, Malaysia berada dalam tempoh kritikal susulan jangkitan kes yang meningkat kepada lima angka.

Katanya kadar vaksinasi yang tinggi juga mampu mengelakkan jumlah kematian tinggi seperti di United Kingdom, iaitu satu kematian bagi setiap 50 orang pada Januari ketika penduduknya tidak divaksin.

“Setelah divaksinasi, angka kematian adalah satu bagi setiap 1,000 orang dan ada juga penurunan kemasukan ke hospital.

“Penting bagi kita mendapatkan vaksin sekarang bagi mengurangkan kemasukan ke hospital dan ICU (Unit Rawatan Rapi),” katanya sambil menambah setakat ini, kadar vaksinasi negara ialah 11.3%.

Hisham berkata, pemberian vaksin juga terbukti dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, selepas enam minggu pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa dua, iaitu melibatkan warga emas, komorbid dan orang kurang upaya, didapati kemasukan ke wad bagi pesakit 60 tahun dan ke atas semakin berkurangan.

“Sebaliknya, peningkatan dilihat pada usia muda dan mereka yang belum divaksin,” katanya.

Tiada ulasan: