Isnin, 26 Julai 2021

Tiada hartal doktor kontrak di HRPZ ll

Oleh AIN MANAF

 

KOTA BHARU: Tiada Hartal Doktor Kontrak berlaku di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ ll) di sini seperti yang dinyatakan sebelum ini untuk mengadakan mogok secara aman.

Bagaimanapun Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama pegawai-pegawai perubatan bagi membincangkan berkenaan perkara itu.

Ini kerana katanya, menjadi ketutamaan buat mereka untuk memberi tanggungjawab yang terbaik kepada pesakit-pesakit memandangkan kini sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Saya yakin mereka tidak akan berbuat demikian kerana mereka sendiri telah faham dan ada prinsip. Saya juga yakin mereka akan beri kerjasama terbaik untuk Hospital di Kelantan dan kita semua juga inginkan yang terbaik.

“Mereka juga faham tidak boleh membelakangkan tugas atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin boleh mengabaikan tugasan terhadap pesakit sehingga menjejaskan kebergunaannya sebagai penjawat awam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Menurutnya ia termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan doktor kontrak tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutan mereka iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak merancang untuk keluar beramai-ramai daripada fasiliti kesihatan masing-masing, tempat mereka bekerja jam 11 pagi tadi sebagai tanda bantahan.

Dr Zaini berkata, pihaknya menyerah sepenuhnya sebarang keputusan kepada pihak Kementerian untuk mengambil tindakan yang sesuai. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: