Khamis, 15 Julai 2021

Tiada aktiviti ibadah korban di N.Sembilan, solat sunat dihad 12 jemaah

azrulhakimie

Keputusan atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sembilan, MKN

SEREMBAN – Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) memutuskan tiada aktiviti ibadah korban dibenarkan di seluruh negeri ini sempena Aidiladha Selasa depan.

JMNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan solat sunat Aidiladha pula dihadkan kepada 12 orang yang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid dan surau Jumaat sahaja, namun bagi daerah atau lokaliti yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ibadah solat sunat itu masih tidak dibenarkan.

“Keputusan ini diambil atas syor dan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sembilan dan Majlis Keselamatan Negara. Ia mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

“Ketetapan sedemikian perlu diambil bagi menyahut nasihat kerajaan agar semua bentuk aktiviti berkumpulan dikawal bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. Semua pihak perlu memberi kerjasama menangani wabak ini,” menurut kenyataan itu hari ini.

JMNS turut memaklumkan berdasarkan data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan setakat 8 Julai lepas, terdapat 50,130 kes positif COVID-19 secara kumulatif dan sebanyak 456 orang telah meninggal dunia akibat wabak itu.

Menurutnya JKNNS turut mengesan 13 kes dijangkiti virus dikategorikan sebagai membimbangkan, yang terdiri daripada tujuh kes Varian Beta dan enam kes Varian Delta. – Bernama

Tiada ulasan: