Selasa, 20 Julai 2021

Suami maut, isteri mengandung 7 bulan parah kemalangan

Seorang lelaki maut, manakala isterinya yang mengandung tujuh bulan parah 
selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit kemalangan di Sibu, Sarawak.
 (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut, manakala isterinya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan parah selepas motosikal ditunggang mereka merempuh sebuah lori yang berhenti di tepi jalan akibat rosak di Jalan Tun Abang Haji Openg, Sibu di Sarawak semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian 3.10 petang itu, penunggang motosikal terbabit, Roddy Dejah, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala isterinya Allina Cynthia Kilau, 17, mengalami kecederaan parah.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila motosikal itu merempuh sebuah lori selepas pemandunya dikatakan memberhentikan kenderaan berkenaan di lorong kiri jalan untuk memeriksa kerosakan yang dialami.

“Motosikal ditunggang mangsa bersama isteri dari arah belakang lorong sama, dikatakan melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori itu ketika pemandunya sedang membuat pemeriksaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Stanley berkata, susulan itu penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Sibu.

“Pembonceng yang sedang mengandung tujuh bulan pula parah dan dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan,” katanya dan menambah hasil semakan mendapati penunggang itu tidak memiliki lesen memandu dan motosikal terbabit adalah milik ibu mentuanya.

Berikutan insiden itu, beliau berkata, pemandu lori terbabit yang berusia 54 tahun, ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tiada ulasan: