Selasa, 27 Julai 2021

Suami isteri maut kereta terbabas langgar tiang elektrik

Kedua-dua mangsa yang maut di tempat kejadian kemudian dikeluarkan 
oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri maut setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas melanggar tiang elektrik sebelum terbakar di Lumut petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di KM7, Jalan Sitiawan – Changkat Cermin berhampiran simpang Kampung Columbia, Ayer Tawar kira-kira 5.30 petang semalam, R Ellango, 51, dan isterinya, S Thavaselvi, 43, menaiki Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Ayer Tawar, menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar Nasaruddin Abu Bakar.

Pasangan terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah selepas lelaki berkenaan mengambil isterinya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dari kanan ke kiri jalan lalu melanggar tiang elektrik dan (menyebabkan kereta) terbakar,” kata Nasaruddin, menurut laporan Harian Metro.

Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum kenderaan itu terbakar.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Mohd Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: