Selasa, 27 Julai 2021

SOP Pematuhan: Ismail Sabri berundur, Hishammuddin ambil alih mulai esok

MGF01032021__PENCAPAIAN-KEMENTERIAN-PERTAHANAN17
Ismail Sabri akan menumpukan sepenuhnya bidang tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

KUALA LUMPUR – Tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein mulai esok

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Keselamatan) bermula 20 Mac tahun lalu.

Katanya, sejak itu semua kenyataan media harian berkaitan Task Force Operasi Pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak Covid-19 telah dikeluarkan olehnya setiap hari sepanjang satu tahun, empat bulan dan enam hari.

MGF28032021_PAU-UMNO32
Hishammuddin akan mengambil alih tugas urusan pernyataan harian SOP pematuhan PKP.

“Setiap hari saya menerima dan mengumumkan laporan berkenaan pematuhan SOP, kawalan sempadan negara dan lain-lain perkara dari semua agensi terlibat.

“Ini bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berkenaan situasi semasa keselamatan dalam tempoh PKP berkenaan Covid-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sekarang Hishammuddin telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ismail Sabri kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kekal menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada semua yang terbabit sepanjang penglibatannya bermula dari anggota pentadbiran, kementerian terlibat, agensi, frontliners serta rakyat Malaysia yang mahukan negara bebas daripada Covid-19.

“Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat media yang sentiasa melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: