Rabu, 21 Julai 2021

Seri Paduka zahir titah takziah kepada Ustaz Ebit Lew

Oleh Media Mulia

PETALING JAYA: “Di saat teramat rindukan bapak dan mak sangat dapat surat titah takziah”.

Demikian tulis Ustaz Ebit Lew yang menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Rasa bersyukur sangat. Menjunjung kasih Tuanku (Seri Paduka). Rasa bersyukur kerana Tuanku selalu memberi semangat dan doa selama ini. Bahagia dapat mesej kata semangat dan doa. Daulat Tuanku semoga Allah angkat Covid-19 dari negara kita dan pulihkan keadaan negara kita insya-Allah,” katanya.

Surat titah ucapan takziah oleh Seri Paduka berdua itu bertarikh 15 Julai dan disiarkan dalam laman Facebook Ebit Lew hari ini.

GAMBAR kenangan Ebit Lew bersama bapanya. – FB EBIT LEW

Surat tersebut ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd. Alim.

Dalam surat itu, Seri Paduka berdua dan seluruh warga Istana Negara dengan penuh rasa dukacita menghulurkan salam takziah kepada Ustaz Ebit Lew sekeluarga atas pemergian bapa tercinta, Allahyarham Ibrahim Lew pada 13 Julai lalu.

“Bersama-sama kita memohon ke hadrat Allah SWT agar dicucuri rahmat ke atas roha arwah dan ditempatkan di kalangan orang-orang soleh dan beriman. Istana Negara turut berdoa semoga ustaz dan seluruh ahli keluarga tenang dan tabah menghadapi dugaan yang berat ini,” titah Seri Paduka.

Tiada ulasan: