Khamis, 15 Julai 2021

Sektor pertanian sudah terima peruntukan RM167.8 juta


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Peruntukan sebanyak RM167.98 juta sudah disalurkan kerajaan kepada golongan petani, peladang dan nelayan setakat 2 Julai, 2021 bagi menyokong industri pertanian dan makanan negara.

Pembiayaan tersebut adalah sebahagian daripada RM400 juta yang diperuntukkan bagi golongan tersebut, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-61 yang dikeluarkan pada Khamis.

“Di bawah skim sokongan industri pertanian dan makanan ini, RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

“Jaminan makanan amat dititikberatkan dalam PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) dan Belanjawan 2021,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata di bawah skim sokongan penggunaan teknikal dan digital bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat di peringkat pertengahan, sejumlah RM76.62 juta telah disalurkan kepada 13,873 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi, setakat 2 Julai.

Tengku Zafrul berkata sebanyak 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja juga telah menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan PENJANA.

Beliau berkata setakat 2 Julai, permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencapai nilai RM12.907 bilion.

Tiada ulasan: