Sabtu, 24 Julai 2021

‘Sarung’ PPE 16 jam bawah terik matahari urus jenazah Covid-19

Pasukan sukarelawan Amal Valley Organization menguruskan jenazah Covid-19.

PETALING JAYA: Memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dalam cuaca panas terik sehingga 16 jam, antara cabaran dilalui pasukan sukarelawan menguruskan jenazah umat Islam meninggal dunia akibat Covid-19, kata sukarelawan Amal Valley Organization (AVO).

Mereka juga perlu berdepan suasana pilu menyaksikan tangisan tanpa henti ahli keluarga meratapi pemergian insan tersayang yang sudah dimaklumkan tidak dibenarkan mengiringi jenazah hingga ke tanah perkuburan.

Ketika di lapangan menguruskan jenazah buat kali terakhir, mereka juga pernah berdepan stigma penduduk di sekitar tanah perkuburan berkenaan yang enggan menerima jenazah disebabkan wabak berkenaan, dikebumikan di tanah perkuburan kawasan mereka.

Di sebalik pelbagai cabaran termasuk peningkatan kes kematian setiap hari, pertubuhan itu memberikan perkhidmatan secara percuma walaupun kos pengurusan seorang jenazah boleh mencecah sehingga RM3,000 bergantung kepada kos logistik dan lokasi tanah perkuburan.

Selepas selesai pengurusan jenazah, anggota sukarelawan perlu 
menyahkuman badan mereka sebelum membuka pakaian 
perlindungan diri (PPE).

Bercakap kepada FMT, Presiden AVO, Dr Azfar Hussin berkata pihaknya berkhidmat secara percuma sebagai fardu kifayah dalam keperluan mengebumikan jenazah umat Islam secepat mungkin dan menunaikan amanah penderma.

 

Menurutnya, cuma ada kalanya waris mangsa memberikan sedikit pembayaran atau mengikut kemampuan mereka yang digunakan pihaknya untuk menguruskan jenazah yang lain.

Pemilik rangkaian Klinik As-Salam yang mempunyai 11 cawangan di Selangor itu berkata mereka bermula sejak tahun lalu dengan menguruskan purata empat hingga lapan jenazah sehari namun kini jumlahnya semakin meningkat.

“Kini purata 20 jenazah sehari, paling tinggi pernah sampai 57 sehari, pada waktu itu kami bertugas bermula jam 8 pagi hingga 12 malam…bayangkan kepenatan dialami termasuk kerana perlu memakai PPE sebagai keselamatan.

Pasukan sukarelawan Amal Valley terus menunaikan 
tanggungjawab fardu kifayah menguruskan jenazah Covid-19 
ketika azan Maghrib berkumandang.

“Namun kepenatan itu berbaloi apabila kami berjaya menunaikan fardu kifayah dan amanah penderma, paling penting kesedihan keluarga juga terubat kerana mereka tidak dapat menguruskan jenazah seperti jenazah biasa,” katanya.

Tertumpu di sekitar Lembah Klang, operasi AVO majoritinya melibatkan pengurusan jenazah di Hospital Ampang kerana status hospital itu sebagai hospital penuh Covid-19.

Menurut Azfar pihaknya mempunyai 11 sukarelawan tetap yang dibahagikan kepada tiga bahagian dalam menguruskan jenazah iaitu pasukan di bilik mayat, logistik dan di tanah perkuburan untuk pengebumian.

“Semuanya sudah diberi latihan selama enam jam sebelum dibenarkan menguruskan jenazah, kalau tidak cukup ahli kami akan meminta bantuan NGO lain.

Menguruskan jenazah bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah 
Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Kuala 
Lumpur, Selasa lalu.

“Sekarang kami guna enam kenderaan iaitu empat milik sendiri manakala satu lagi dipinjamkan Jabatan Agama Islam Selangor serta surau, namun ia tidak mencukupi kerana pertambahan jenazah,” katanya yang mengalu-alukan mereka yang ingin meminjamkan atau menyumbangkan kenderaan bagi tujuan itu.

Ditanya sama ada sukarelawannya pernah dijangkiti Covid-19 sepanjang tempoh itu, beliau bersyukur perkara itu tidak pernah terjadi dan ia mungkin disebabkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau yang menjadi doktor sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) Bukit Jalil itu berkata, isterinya juga seakan mengerti dan walaupun sangat penat tetapi beliau bersyukur dikurnia kesihatan yang baik untuk terus berkhidmat.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan ke Tabung Amal Valley Organization, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline@0193899839.

Tiada ulasan: