Selasa, 13 Julai 2021

Sarawak beralih ke Fasa 2 PPN

Siti Fatimah

Keputusan berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator

KUALA LUMPUR – Sarawak merupakan negeri terbaharu yang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti nilai-nilai ambang negeri tersebut.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi negeri Sarawak daripada Fasa 1 ke Fasa 2 berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi PPN hari ini. 

Sebelum ini, lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis beralih ke Fasa Dua mulai 5 Julai manakala Pulau Pinang mulai 7 Julai dan Sabah mulai 10 Julai.

Sementara itu, beliau mengumumkan kerajaan memberi kebenaran kepada outlet pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak di dalam pusat membeli-belah serta pasar raya besar untuk beroperasi sepanjang PPN berkuat kuasa esok.

Tiada ulasan: