Ahad, 11 Julai 2021

Rina mohon maaf, 'nak aunty suap' buat hatinya tersentuh

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun memohon maaf berhubung tindakannya menyuapkan makanan kepada anak perempuan, pemuzik Caliph Buskers, Fendi Adlun.

Melalui satu foto yang dimuat naik di media sosial, Rina berbuat demikian ketika menziarahi keluarga terbabit di ibu negara semalam.

Bagaimanapun tindakannya itu menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan netizen yang menganggap menteri berkenaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Berikutan berita yang tular berkenaan tindakan saya menyuapkan makanan kepada seorang kanak-kanak OKU (orang kelainan upaya) bernama Nur Azalea Zafirah, berusia 6 tahun yang merupakan anak kepada saudara Fendi Adlun, pemuzik Caliph Buskers.

“Saya memohon maaf andai kiranya tindakan responsif saya tidak menyenangkan mata dan menimbulkan persoalan dan kebimbangan kepada sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas Rina, dia telah meminta izin Fendi untuk menyuapkan anaknya itu yang juga seorang anak OKU penglihatan dan Autisme.

Kata Rina, kanak-kanak itu membuat hatinya tersentuh apabila meminta dia menyuapkan makanan.

Tambahnya, Fendi juga memaklumkan bahawa anaknya tidak mampu makan sendiri dan perlu dibantu dengan menyuapkan makanan kepadanya.

“Hati saya mula tersentuh apabila kanak-kanak tersebut sendiri menyebut ‘nak aunty suap’ kepada saya.

“Untuk tidak menghampakan anak istimewa ini, saya terus menyuapkan makanan tersebut sebagai sebahagian pendekatan psikososial dalam menzahirkan rasa kasih kepada kanak-kanak apatah lagi kepada insan yang kurang bernasib baik ini,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Rina sementara itu merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang peka terhadap SOP

Tiada ulasan: