Isnin, 26 Julai 2021

Polis pantau mogok doktor kontrak

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau hartal atau mogok doktor kontrak yang dijangka diadakan di semua fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara, esok.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM akan memastikan peserta hartal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berkuat kuasa.

"PDRM mengambil maklum gerakan oleh sebilangan doktor kontrak yang berhasrat mengadakan protes di seluruh negara esok. Namun, setakat ini kita tidak menerima maklumat protes berkenaan akan menjejaskan ketenteraman awam.

"Bagaimanapun, PDRM akan mengaturkan penugasan pasukan pemantauan SOP bagi memantau aktiviti protes itu, demi memasikan segala SOP PPN dipatuhi semasa aktiviti diadakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani bertanya sesuatu kepada doktor di kawasan PKPD, baru-baru ini. - Foto hiasan NSTP
Acryl Sani bertanya sesuatu kepada doktor di kawasan PKPD, baru-baru ini. - Foto hiasan NSTP

Terdahulu, BH melaporkan doktor kontrak di seluruh negara akan menjalankan mogok pagi esok, jika dua tuntutan yang dikemuka dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak diselesaikan kerajaan dalam tempoh ditetapkan.

Jumaat lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan perlantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan doktor kontrak tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutannya, iaitu jaminan lantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Kumpulan doktor kontrak itu merancang untuk keluar daripada fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja, tepat jam 11 pagi esok.

Dijangka seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara akan menyertai mogok itu.

Tiada ulasan: