Ahad, 11 Julai 2021

Perbankan Islam patut jadi contoh bukan ambil kesempatan kenakan caj – Asyraf

MGF30032021_FORUM-DEMOKRASI51
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Perbankan Islam mesti tunjuk contoh tawarkan moratorium tanpa keuntungan terakru bukan ambil kesempatan dalam kesempitan hidup rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya ada menerima aduan seorang individu berkenaan perkara itu.

“Seorang hamba Allah mengadu kepada Pemuda UMNO untuk perjuangkan nasib mereka kerana dalam keadaan terdesak untuk mengambil moratorium enam bulan, beliau akan terpaksa membayar tambahan RM9,212 akibat penangguhan yang diberikan.

“Secara prinsipnya sudah ada elemen-elemen berbaur riba melainkan wujud perubahan akad yang dimeteraikan

“Menggunakan perkataan interest servicing dalam surat pemakluman Penjadualan Semula Pembiyaan juga merupakan satu kesalahan serius,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya, jika ketika beliau menjadi Pengerusi Shariah merangkap Ahli Lembaga Pengarah sebuah perbankan Islam dulu pasti, pegawai bank yang keluarkan surat ini akan dipanggilnya.

Jelasnya, sudah berulang kali Pemuda UMNO bangkitkan dan desak agar Menteri Kewangan yang sudah dinaikkan pangkat kepada Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk ambil tindakan menyelaras kaedah penawaran moratorium termasuk mekanisme pengiraan keuntungan/faedah.

“Pemuda UMNO minta agar kerajaan melalui Menteri Kewangan Tengku Zafrul guna kuasa yang ada melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 bagi mengarahkan bank-bank sama ada konvensional mahupun Islamik agar memansuhkan elemen Keuntungan/Faedah Terakru dalam moratorium yang ditawarkan,” tambahnya.

Justeru kata Asyraf, Pemuda UMNO mengharapkan ada tindakan positif sebagaimana jaminan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri yang baru kepadanya dalam pertemuan semalam ketika beliau datang mengunjungi Presiden UMNO.

Menurutnya, inilah masanya perbankan Islam mesti ditampilkan berbeza daripada amalan konvensional.

“Dengan menzahirkan nilai-nilai ihsan dan rasa kebertanggungjawaban sosial yang tinggi dengan menawarkan moratorium tanpa keuntungan terakru terutamanya ketika umat dilanda musibah Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengekang mereka daripada bekerja dan memperoleh pendapatan sebagaimana biasa,” katanya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: