Rabu, 14 Julai 2021

Penjelasan Pengarah HTAR isu asrama doktor dan lawatan PM

Tan Sri Muhyidddin Yassin mengadakan lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang semalam.

PEMINDAHAN Doktor Pelatih Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) dari Asrama Doktor Pelatih ke bangunan Asrama Pelajar Perubatan Universiti Malaya (UM) yang lebih selesa bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan Blok A, B dan C memandangkan Blok D Asrama Doktor Pelatih digunakan sebagai Pusat Saringan COVID (PSC) sejak April lalu.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, beliau telah mengadakan lawatan ke Blok A Asrama Doktor Pelatih bersama Unit Pembangunan, Jabatan Perubatan, Unit Pentadbiran dan Unit Fasiliti Hospital pada 5 Julai lalu.

Katanya, berdasarkan lawatan berkenaan, keputusan telah dibuat oleh Pengarah untuk menukar fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih sebagai Wad COVID-19 Kategori 1 dan 2.

“Sehubungan dengan itu, penghuni Blok A Asrama Doktor Pelatih yang menempatkan 10 Doktor Pelatih wanita dan Blok B (2 Doktor Pelatih lelaki) akan dipindahkan ke Asrama Pelajar Perubatan UM selepas kerja kerja penyelenggaraan dibuat di Blok B Asrama Pelajar Perubatan UM Blok dan Blok E Asrama Pelajar Perubatan UM.

“Notis telah dikeluarkan kepada semua penghuni di Blok A dan Blok B Asrama Doktor Pelatih supaya keluar dalam tempoh empat hari sejak 9 Julai 2021 (Jumaat) untuk berpindah ke Asrama Pelajar Perubatan UM.

“Pada masa yang sama, pihak konsesi akan membuat kerja-kerja penyelenggaraan di Asrama Pelajar Perubatan UM untuk menerima Doktor Pelatih yang sebelum ini ditempatkan di Asrama Doktor Pelatih,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, selepas semua pemindahan Doktor Pelatih ke Asrama Pelajar Perubatan UM selesai dilakukan pada 12 Julai 2021, fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih telah ditukarkan kepada Wad COVID-19 Berisiko Rendah.

Dalam kenyataan sama, Zulkarnain menjelaskan isu tular yang mendakwa Jabatan Kecemasan dan Trauma dikosongkan kerana lawatan Perdana Menteri.

Menurut beliau, pada 8 Julai lalu, Wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dikenal pasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Katanya, pada 9 Julai pula, Kompleks Rawatan Harian (ACC) telah dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad merawat pesakit COVID19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam ruang yang selesa.

“Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 ke Wad COVID-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad, dan ianya bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma,” jelasnya.

Kata beliau, trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 sehingga 180 pesakit.

“Justeru, kenyataan yang telah tular mendakwa Jabatan Kecemasan dan Trauma telah “dikosongkan” kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri pada semalam adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit manakala, pesakit yang masih belum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma setakat 13 Julai adalah seramai 177.

“Pemindahan pesakit COVID-19 ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsi sebagai Wad COVID-19 adalah pelan kontigensi yang diambil bagi Pengurusan Bencana Peringkat Hospital,” katanya.

Tiada ulasan: