Isnin, 12 Julai 2021

Pemikir cadang pendekatan baharu; kawal jangkitan secara bersasaran, bolehkan ekonomi berfungsi

Kajian CME mendapati golongan paling terkesan dengan sekatan secara 
menyeluruh adalah golongan miskin.

PETALING JAYA: Badan pemikir dasar ekonomi membentangkan suatu rancangan yang mencadangkan “lockdown” ditarik balik dan dalam masa sama mengawal jangkitan virus secara bersasaran bagi membolehkan ekonomi berfungsi dan melindungi golongan rentan sepenuhnya.

Idea diterbitkan Center for Market Education (CME) berjudul “Fighting Covid-19 in Malaysia: Mass Testing and Other Reasonable Proposals”, berhujah bahawa pendekatan secara terkawal dan bersasaran itu berupaya menangani pandemik tanpa mengorbankan struktur ekonomi dan sosial.

“Kami percaya bahawa kami mengemukakan analisis segar berdasarkan analisis timbal-balik yang lebih kukuh atas prinsip tanggungjawab terhadap diri sendiri,” kata ketuanya Carmelo Ferlito, dengan menambah bahawa kebergantungan pada “lockdown” nampaknya tidak berkesan dan tidak dapat dipertahankan.

“Berbanding apa yang kita lihat ketika ini, rancangan ini wajar dipertimbangkan,” tambahnya.

Ferlito berkata, “keyakinan melulu” pada rancangan yang mengehadkan pergerakan dan tumpuan pada mengurangkan kadar jangkitan wajar digantikan dengan rancangan yang secara terkawal mensasarkan jangkitan terhadap mereka yang bertubuh sihat dan mampu melawan kesan virus supaya imuniti terbina secara alami.

Dalam masa sama, golongan yang rentan atau berpenyakit dilindungi daripada jangkitan sepenuhnya.

Katanya, rancangan CME itu mesti seiring dengan komitmen untuk melaksanakan saringan besar-besaran secara kerap dan mampu milik agar kes boleh dikesan dan diasingkan.

Dalam masa sama, ekonomi kekal berfungsi seperti biasa.

Sekatan secara menyeluruh, kata pencadang, mempunyai kesan ekonomi yang paling teruk menjejaskan golongan susah.

“Golongan yang paling banyak terkesan dengan sekatan pergerakan secara menyeluruh adalah golongan miskin. Ia menyebabkan pengangguran meningkat, serta guna tenaga tidak penuh dan kemiskinan.

“Sekarang ini, bilangan mereka yang bergelut untuk mencukupkan keperluan adalah 700 kali lebih tinggi berbanding bilangan mereka yang meninggal dunia kerana Covid-19.”

Kajian CME menganggarkan kos merawat virus Covid-19 sahaja menelan belanja kira-kira RM8 bilion setahun, berbanding kira-kira RM170 bilion yang ditanggung kerana “lockdown” selama 12 bulan.

Perbezaan kos itu mencadangkan adalah lebih baik wang disalurkan kepada aktiviti perubatan seperti pemerolehan peralatan, membina hospital dan menggalakkan kerjasama sektor swasta.

Bagi mendanai pendekatan yang dicadangkan, kerajaan disaran memperkenalkan cukai korporat khas 5% ke atas keuntungan yang melepasi ambang tertentu; memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan secara bersasar dan berbilang lapisan; dan memberi pilihan kepada individu dan perniagaan untuk memperuntukkan sejumlah cukai mereka kepada usaha melawan Covid-19.

“Kami berharap ada pihak yang sudi mendengar cadangan kami kerana keadaan negara semakin teruk. Kami di sini menyumbang sekadar mampu kepada perjuangan bersama ini.

“Kami berharap kepimpinan baharu akan muncul dan mencadangkan pendekatan baharu dalam masa kecemasan ini,” katanya.

Tiada ulasan: