Selasa, 20 Julai 2021

Pemandu nekad rempuh 3 kenderaan lain

KOTA KINABALU: Berang dengan rakan yang memotong barisan untuk menunggu pelanggan dikatakan menjadi punca seorang pemandu Airport Limo nekad merempuh tiga kenderaan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, lelaki berusia awal 60-an terbabit dikatakan naik angin sehingga nekad merempuh tiga kenderaan lain di KKIA tetapi mujurlah kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

Rakaman video kejadian berdurasi hampir satu minit itu tular di laman sosial dan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat.

Malah ada yang cuba mengaitkan kes itu sebagai kesan daripada penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan orang ramai tertekan sehingga mudah hilangan pertimbangan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian untuk tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan: