Ahad, 18 Julai 2021

Pemancing jumpa mayat lelaki terapung di perairan Langkawi

APMM membawa naik mayat lelaki yang ditemui terapung di perairan Pulau 
Rabak Langkawi, tengah hari tadi (Gambar APMM)

PETALING JAYA: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di perairan Pulau Rebak Besar, Langkawi tengah hari tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan daripada pemancing melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengenai penemuan satu mayat tersebut.

“Sejurus menerima maklumat, APMM menghantar sebuah bot ke lokasi dan mendapati mayat itu ditemukan dalam keadaan lengkap berseluar panjang hitam dan berbaju.

“Mayat itu ditemukan pada kedudukan 5.4 batu nautika barat daya Pulau Rebak Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zawawi berkata, mayat mangsa dibawa ke jeti Bukit Malut, Langkawi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, MRSC Langkawi belum menerima sebarang aduan berkaitan orang hilang di kawasan perairan Langkawi.

“APMM mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sentiasa mengutamakan keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan,” katanya.

Tiada ulasan: