Jumaat, 30 Julai 2021

Pegawai Imigresen didenda RM30,000 kerana rasuah

KUCHING: Seorang pegawai Imigresen didenda RM30,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM8,200 sebagai balasan melepaskan warga asing yang melanggar pelbagai kesalahan imigresen pada 2017.

Hakim Steve Ritikos membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Dina Azanina Morshidi, 41, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Wanita terbabit sebelum itu menghadapi 22 pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan membabitkan nilai rasuah sebanyak RM109,600 dan 22 pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 membabitkan nilai rasuah dalam jumlah yang sama.

Bagaimanapun, semua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan 20 pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 digugurkan.

Dalam pertuduhan pilihan pertama mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009, Dina Azanina yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dituduh menerima wang sebanyak RM1,100 yang dimasukkan ke dalam akaun Malayan Banking Berhad, Cawangan Kuching Selatan milik anaknya pada 22 November 2017.

Dalam pertuduhan pilihan kedua mengikut akta yang sama pula, dia dituduh menerima wang berjumlah RM7,100 di dalam akaun sama pada 5 Disember 2017.

Dia didakwa menerima wang itu daripada seorang lagi Pegawai Imigresen Gred KP19, Mohd Shah Ezywan yang bertindak bagi pihak ejen untuk melepaskan warga China daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang melanggar Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayar denda dia akan dikenakan 10 bulan penjara.

Dina Azanina yang tidak diwakili peguam, membayar denda itu dan mahkamah membenarkan lucuthak terhadap barang kemas milik tertuduh yang bernilai RM10,000 dan wang di dalam akaun anaknya yang berjumlah RM200,000.

Tiada ulasan: