Ahad, 18 Julai 2021

Nikah dalam talian dibenar untuk kes tertentu

Malaysiakini

Akad nikah dalam talian hanya dibenarkan untuk kes-kes tertentu dan setakat ini ia masih tidak dibenarkan secara meluas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Menurutnya, antaranya kerajaan tidak menolak kemungkinan akan membenarkan pernikahan dalam talian sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

"Kahwin dalam talian yang dibenarkan adalah kepada mereka yang sudah lama mendaftar sebelum pelaksanaan PKP.

"Mereka yang mendaftar dalam tempoh PKP, kita akan lihat pada kes dan sekiranya perlu, kita akan bincang untuk diberi kebenaran.

"Apa yang penting, kita tidak menyalahgunakan khidmat kahwin dalam talian dan ia mesti dibuat berdasarkan keperluan. Jika mereka daftar sebelum PKP, memang kita benarkan," katanya kepada media selepas menyampaikan bakul makanan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Kota Bharu, di Kelantan hari ini.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata demikian ketika ditanya berhubung atatcara pernikahan dalam talian dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Bagaimanapun Ahmad Marzuk berkata, proses pernikahan dalam talian juga perlu merujuk pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Tiada ulasan: