Khamis, 15 Julai 2021

MUIP pantau, salur bantuan pihak kibar bendera putih

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kini memantau pihak yang mengibarkan bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, MUIP akan memberi bantuan selain mendapatkan maklumat punca pihak berkenaan bertindak demikian.

Katanya, MUIP selama ini juga menyalurkan bantuan keperluan asas kepada golongan layak menerima sumbangan terutama yang terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Beliau berkata, MUIP turut menyeru penghulu, ketua kampung dan pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) supaya memberi maklumat kepada MUIP jika mengesan ada keluarga memerlukan bantuan.

"Sejak PKP 1.0 tahun lalu, hampir setiap bulan MUIP memberi bantuan keperluan asas kepada pelbagai pihak bagi meringankan beban mereka yang terkesan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu seorang ibu tunggal, Siti Endon Ismail, 58 yang mengibarkan bendera putih dan merah pada pagar rumahnya di Kubang Buaya, di sini semalam.

Wanita berkenaan penerima bantuan bulanan RM300 daripada MUIP kini tinggal bersama 100 ekor kucing mendakwa dia memerlukan bantuan selepas tidak dapat bekerja sepanjang PKP 3.0.

Selain memberi bantuan wang tunai, MUIP turut memberi bantuan keperluan asas termasuk makanan kucing peliharaan Siti Endon.

Asmadi berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyalurkan bantuan dan barang keperluan asas untuk mereka yang terkesan akibat PKP.

Tiada ulasan: