Jumaat, 9 Julai 2021

Malaysia menuju ke arah negara gagal, kata kolumnis

Mahathir Mohamad bermula dengan baik, namun mula berdepan masalah selepas 
membelanjakan secara tidak perlu pembinaan KLIA dan Menara Berkembar, Najib 
Razak dibelenggu masalah kehilangan pesawat MH370, manakala Muhyiddin Yassin, 
belum memberi corak kepemimpinan, kata kolumnis Bloomberg.

PETALING JAYA: Letusan sosial, krisis ekonomi dan politik adalah kemungkinan menjadikan Malaysia menuju ke arah negara gagal, kata kolumnis Bloomberg.

“Dimulakan dengan rayuan meminta bantuan oleh rakyat ketika pelaksanaan “lockdown”, disusuli gandaan jangkitan Covid-19, kini ia menjadi lambang merudumnya negara yang dulu boleh dibanggakan,” kata kolumnis Bloomberg, Danial Moss.

Beliau berkata, kempen bendera putih lebih memaparkan “rintihan daripada golongan yang bersedih kerana keputusan bahan makanan susulan masalah ekonomi”.

Rakyat di negara ini sudah hilang harapan dan berhasrat menggulingkan kerajaan, walaupun mereka tidak jelas sama ada masihkah ada kerajaan untuk mereka gulingkan pada hari ini, dakwanya.

Meskipun, perdana menterinya dulu dianggap sebagai mempunyai ciri kepemimpinan stabil walaupun mengekalkan ciri authoritarian, Moss berpandangan, Ahli Parlimen di Malaysia gagal membawa negara ini keluar daripada belenggu masalah.

Katanya, susulan daripada pengumuman Umno menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan persengketaan dalaman parti, Moss berkata, tiada pemimpin yang mempunyai cukup sokongan di Parlimen atau dalam kalangan 32 juta populasi yang mampu mengganti kepemimpinan tertinggi negara.

Beliau berkata, tiada penunjuk jelas pilihan raya umum akan diadakan, di mana institusi monarki “terpaksa meninggalkan bayang istiadat untuk menjadi pengadil”.

“Jadi, bersandarkan mentaliti boleh buat atau ‘boleh’, rakyat mengorak langkah membantu kerana kegagalan pihak berkuasa menangani penderitaan yang tidak berpenghujung ketika pandemik,” katanya.

Moss ketika mengulas lanjut, berkata kesemua isu yang berlaku disebabkan negara berkenaan berterusan berdepan peningkatan jumlah kes Covid-19, kadar vaksinasi rendah dan “lockdown” berlanjutan dengan kilang diarah tutup, pengangkutan awam “dalam kapasiti minimum kerana kekurangan penumpang” dan pihak tentera digerak bertugas di sekatan jalan raya.

Beliau berkata, bagi Malaysia mencapai atau mendekati unjuran pertumbuhan ekonomi 6.5% dibuat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), negara perlu merekodkan pencapaian ekonomi “luar biasa” bagi separuh kedua tahun 2021.

“Tanpa mengira nombor dikeluarkan, kebanyakan rakyat Malaysia tidak merasai manfaat disediakan walaupun membabitkan perbelanjaan fiskal dan potongan kadar faedah masih berlanjutan,” katanya.

Moss berkata, negara yang dulunya muncul sebagai ikon ‘pasaran baharu” ketika era kepemimpinan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dari 1981-2003, bagaimanapun mula menunjukkan masalah apabila membelanjakan secara tidak perlu bagi pembinaan lapangan terbang baharu, disusuli Menara Berkembar (Petronas).

Katanya, Najib Razak pula “dibelenggu” kehilangan pesawat MH370 di mata dunia.

“Kembalinya Mahathir menerajui blok pembangkang cuma menyediakan detik samar pembaharuan. Namun, beliau tidak berputus asa berurusan dan bergelumang dengan politik meskipun sudah memasuki umur 90-an- dan membuka pintu kepada Muhyiddin menolaknya keluar dari tampuk kuasa,” katanya.

Moss menambah, ketegangan agama dan etnik semakin parah sejak akhir-akhir ini, selain kredibiliti kepemimpinan semakin terhakis sekiranya lebih panjang tempoh diambil untuk menyelesaikan vaksinasi di negeri itu.

“Ujian semasa yang berlaku ketika ini tidak mampu menyelesaikan keperluan perniagaan, kewangan mahupun menyediakan makanan di atas meja.

“Tiada negara mampu melalui pancaroba ini selama-lamanya dan menjadi contoh, selain gagal berfungsi,” katanya.

Tiada ulasan: