Ahad, 25 Julai 2021

Lapor polis jika terima suntikan kosong

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta penerima vaksin yang mengesyaki menerima suntikan kosong vaksin COVID-19 tampil membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya akan membuka kertas inkuiri bagi menyiasat aduan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, PDRM masih menerima banyak pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah oleh penerima vaksin COVID-19.

"Bagi penerima vaksin yang merasa diperdayakan dengan tidak disuntik vaksin, mereka boleh membuat ujian 'COVID Neutralizing Antibody Test' di makmal perubatan yang berlesen.

"Ujian ini boleh dibuat sebulan (30 hari) selepas menerima suntikan dos kedua iaitu mengesahkan keberadaan antibodi di dalam badannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata orang ramai juga boleh membuat laporan polis bagi kejadian berlakunya penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara dalam talian (online) atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Bagi kes ini siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

"Sehingga kini PDRM masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau cuba memasarkan vaksin-vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya," katanya.

Tiada ulasan: