Selasa, 27 Julai 2021

Kursus parti politik tak patuh SOP, menari disiasat


Polis menyiasat perbuatan sekumpulan peserta kursus politik menarik tanpa mematuhi SOP PKP di Shah Alam.

Polis membuka kertas siasatan susulan tindakan sekumpulan individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dipercayai ketika menghadiri kursus melibatkan sebuah parti politik di sebuah hotel di Glenmarie di sini April lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata siasatan dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima hari ini setelah video berhubung kejadian itu tular melalui media sosial beberapa hari lalu.

“Pengadu mendakwa kumpulan individu tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal di antara satu sama lain sehingga perkara itu tular menerusi media sosial.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baharudin berkata jika sabit kesalahan, kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikenakan ke atas individu manakala RM10,000 ke atas penganjur.

Beliau berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Sejak semalam tular melalui media sosial satu video memaparkan sekumpulan individu berkumpul dan menari tanpa penjarakan fizikal selain turut tidak memakai pelitup hidung dan mulut sehingga mendapat kecaman daripada netizen.

Tiada ulasan: