Rabu, 14 Julai 2021

Kota Kinabalu catat kes tertinggi di Sabah

KOTA KINABALU: Saringan tiga kluster sedia ada menjadi penyumbang utama jumlah kes COVID-19 di Kota Kinabalu menjadikan daerah itu mencatatkan kes tertinggi di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, 77 kes baharu direkodkan di daerah berkenaan selepas saringan di Kluster Tembok Kota Kinabalu, Kluster Agora Borneo dan Kluster KKIP Empat Timur.

Katanya, saringan kontak rapat, saringan bergejala, saringan bersasar dan saringan lain-lain juga turut menyumbang jumlah kes terbabit.

"Saringan di Kluster Tembok Kota Kinabalu mencatatkan dengan 22 kes, Kluster Agora Borneo pula tujuh kes dan Kluster KKIP Empat Timur, satu kes.

"Sebanyak 29 kes dikesan daripada saringan kontak rapat, lapan kes daripada saringan bergejala, enam kes saringan bersasar dan empat kes saringan lain-lain kes.

"Kluster Tembok Kota Kinabalu adalah kluster berpunca daripada banduan di Penjara Kepayan dan Kluster Agora Borneo berkaitan kes daripada Pasaraya Bataras, 1Borneo Kota Kinabalu," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Masidi berkata, selain Kota Kinabalu daerah Beaufort turut mencatatkan kes tinggin iaitu 29 kes, Tawau (26), Kudat (19) dan Kota Belud (18).

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada semalam sebanyak 239 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 72,850 kes manakala dua kes kematian dilaporkan membabitkan Sandakan.

"Jumlah pesakit COVID-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 241 orang menjadikan jumlah kumulatif 69,899 orang.

"Seramai 2,109 pesakit menerima rawatan iaitu 415 orang di hospital, 1,652 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 42 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

Tiada ulasan: