Rabu, 14 Julai 2021

Kes tinggi di Lembah Klang berpunca varian Delta yang merebak cepat


Varian baharu sudah dikesan berada dalam negara.

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang berlaku di Lembah Klang berpunca akibat daripada varian baharu, Delta yang dikesan merebak dengan cepat dikalangan orang ramai ketika ini, kata etua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata daripada ujian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mendapati kebanyakkan kes yang dikesan dijangkiti mereka yang positif Covid-19 adalah melibatkan varian Delta dan ia merebak dengan cepat sehingga menyebabkan peningkatan yang ketara kebelakangan ini.

“Kita melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ketat pada 1 Jun dan dalam tempoh 10 hari berjaya meratakan kes daripada 9,020 kes kepada 5,000 dan 4,000 kes dan semakin turun.

“Tapi sekarang ia meningkat semula. Salah satu faktor peningkatan itu ialah disebabkan oleh varian Covid-19.

“Dan kita dimaklumkan varian yang dominan sekarang ialah varian Delta […] varian ini merebak dengan cepat sekali,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, varian jenis tersebut mempunyai kadar kebolehjangkitan (RT) antara lima dan lapan, ia bermakna bagi setiap 100 orang yang dijangkiti, mereka mampu menjangkiti 800 orang yang lain.

Noor Hisham berkata KKM akan meningkatkan ujian saringan dan mengasingkan individu yang positif daripada komuniti, ia diharapkan dapat mengurangkan penularan kepada orang ramai.

“Kira-kira 80 peratus daripada kes positif kita adalah dalam kategori satu (tanpa gejala) atau kategori dua (gejala ringan).

“Kalau kita boleh asingkan mereka, kita akan dapat mengurangkan jangkitan komuniti,” katanya.

Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 11,079, jumlah kes tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu.

Selangor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 5,263 kes diikuti Kuala Lumpur (1,521 kes) dan Negeri Sembilan (1,033 kes).

Mengikut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini 10 negeri dan wilayah merekodkan peningkatan membabitkan Selangor, Sarawak, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Kuala Lumpur, dan Putrajaya.

Tiada ulasan: