Sabtu, 10 Julai 2021

'Kami ke jalan raya demi demokrasi' - Mengimbau sedekad perhimpunan Bersih 2.0

Malaysiakini

Semalam genap 10 tahun penganjuran perhimpunan Bersih 2.0 yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat dari seluruh negara di tengah-tengah ibu kota.

Protes itu, yang diadakan pada 9 Julai 2011, menyaksikan lautan kuning di Kuala Lumpur apabila orang ramai turun ke jalan raya bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Semalam, individu-individu penting di sebalik penganjuran protes berkenaan berkumpul dalam satu webinar untuk mengimbau kenangan dan pengalaman di sebaliknya.

Webinar itu mengumpulkan S Ambiga, pengerusi Bersih ketika itu; bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah; penganalisis politik Prof Wong Chin Huat; pemimpin Pertubuhan Ikram Malaysia Zaid Kamaruddin dan pengerusi Bersih 2.0 kini, Thomas Fann.

Maria, Wong dan Zaid merupakan AJK pemandu Bersih ketika itu

Ia dikendalikan moderator Ooi Kok Hin dan disiarkan di laman Facebook rasmi Bersih 2.0.

“Saya ingatkan seolah-olah mereka (polis) mahu 'bunuh' kami, kerana kami tak dapat bernafas. Asapnya sangat dahsyat,” Maria menceritakan saat dia dibedil dengan gas pemedih mata di sebuah terowong kecil.

Baik Ambiga mahupun Maria, kedua-duanya mengaku tidak sekali-kali menyangka perhimpunan itu akan mengecap kejayaan sebegitu rupa, apabila puluhan ribu penunjuk perasaan dari seluruh negara "menyusup" masuk ke Kuala Lumpur untuk menyertainya, meskipun kota itu penuh dengan sekatan pihak berkuasa.

“Tindakan mereka mengunci bandar (Kuala Lumpur), hanya mengunci setiakawan di kalangan kami. Gas pemedih mata dan meriam air yang ditembak hanya meruntuhkan ketakutan kami. Kami turun ke jalanan demi demokrasi, dan kami temui ‘negara’ kami,” kata Wong bermadah.

Pandangan sama dikongsi Zaid - bahawa protes itu telah memecahkan segalanya yang sebelum itu memecah-belahkan rakyat.

Pada hari bersejarah itu, katanya, rakyat daripada pelbagai agama, kaum dan latar belakang turun ke jalanan demi perubahan.

Kata Wong, semasa dan seusai perhimpunan, rakyat menangis kerana dua perkara. Pertama kerana ditembak dengan gas pemedih mata.

Kedua, katanya, apabila mereka tersentuh kerana kalangan yang menyertainya adalah daripada latar belakang berbeza, dan mereka akhirnya saling membantu ketika diserang pemedih mata - berkongsi tuala, air dan garam.

Sebagai pengerusi Bersih ketika itu, kata Ambiga, dia ada kala tertanya-tanya apakah mereka melakukan hal yang betul ketika merancang perhimpunan tersebut.

Tetapi, katanya lagi, Maria dan Wong sentiasa ada untuk memberi galakan kepadanya.

Perhimpunan Bersih 2.0 menuntut lapan perkara, iaitu membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, masa kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, pengukuhan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Untuk rekod, dakwat kekal mula digunakan semasa PRU 2013, iaitu kira-kira dua tahun selepas perhimpunan itu.

Waktu dan ketika penting

Kata Ambiga, sebarang gerakan sangat bergantung kepada waktu dan ketika yang sesuai. Ketika protes Bersih 2.0, katanya, ramai yang marah terhadap PRN Sarawak yang berlangsung beberapa bulan sebelumnya.

Untuk rekod, Ambiga sendiri dihalang daripada memasuki Sarawak untuk memantau PRN itu, sehari sebelum ia berlangsung pada April.

“Masa sekarang ini adalah sangat sesuai untuk protes,” kata Ambiga memberikan contoh, dipercayai merujuk kemarahan yang disuarakan rakyat di media sosial berhubung pengurusan Covid-19 oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Thomas juga berkongsi pandangan serupa, ketika ditanya jika Bersih 2.0 mungkin menganjurkan protes sekali lagi, lebih-lebih lagi di kala orang ramai berdepan kesukaran gara-gara Covid-19.

Memberikan analogi, Thomas berkata peluncur angin di pantai sentiasa bersedia dengan papan luncurnya, tetapi ia harus sentiasa memerhatikan ombak yang datang, sebelum menentukan masa yang sesuai untuk meluncur.

Antara hal yang menjadi pertimbangannya adalah apakah yang ingin dicapai menerusi protes tersebut. Namun baginya ia tidak pernah hilang daripada pilihan (off the table).

Jika dulu Bersih 2.0 berjuang untuk reformasi pilihan raya, kata Thomas, kini situasi di Malaysia lebih rumit dengan pelbagai isu demokrasi dan politik seperti amalan lompat parti dan penggantungan Parlimen - kedua-duanya memerlukan perubahan.

Asakan polis rancakkan lagi protes

Mengenang kesulitan yang dialami ketika menganjurkan Bersih 2.0, Maria dan Ambiga berkata pada masa itu isu pilihan raya agak sulit dan tidak menarik perhatian orang ramai.

Namun, kata Ambiga, daripada satu sisi, dia berterima kasih atas asakan polis terhadap mereka yang telah memancing perhatian lebih ramai orang untuk turut serta.

“Orang berfikir 'mesti betul-betul ada sesuatu yang tidak kena dengan pilihan raya, sebab itu polis mengambil tindakan keras ke atas kami',” katanya.

Mengikut rancangan awal, perhimpunan itu sepatutnya dilakukan di Dataran Merdeka.

Namun, setelah Bersih menghadap dengan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin, lokasi perhimpunan ditukar ke Stadium Merdeka.

Antara tempat berkumpul adalah Jalan Petaling, kawasan sekitar Kompleks Daya Bumi, Masjid Jamek, Pudu dan Sogo. Kesemuanya tidak sunyi daripada kawalan pihak berkuasa.

Penunjuk perasaan berdepan asakan termasuk gas pemedih mata, meriam air, dan juga penahanan oleh pihak polis bagi menyekat kemaraan mereka ke lokasi perhimpunan.

Media ketika itu turut melaporkan pertembungan antara penunjuk perasaan dan pihak polis. Dilaporkan, seramai 1,667 orang ditangkap daripada perhimpunan berkenaan.

Wong pula mengimbau dua hari sebelum perhimpunan ketika dia, Ambiga dan Sasterawan Negara A Samad Said - yang ketika itu seakan menjadi simbol protes - dipanggil ke ibu pejabat polis di Bukit Aman untuk bertemu ketua polis negara ketika itu, Ismail Omar.

Menurut Wong, mereka ketika itu berbincang untuk mengubah lokasi himpunan, antara pilihan yang diberikan adalah Stadium Bukit Jalil dan Stadium Kelana Jaya.

Bagaimanapun, katanya lagi, Ambiga mengambil sikap tegas - seperti seorang profesor undang-undang - dan bersyarah mempertahankan lokasi yang dipilih mereka.

Kata Wong, pertemuan itu berakhir dengan mereka menyatakan pendirian - walau apa pun terjadi, hatta jika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ia tetap akan dijalankan pada 9 Julai 2011 seperti dirancang.

Bersih 2.0 melangkah ke hadapan

Bergerak ke hadapan dalam era baru, Maria berkata Bersih 2.0 harus seiringan dan menyokong gerakan-gerakan baru anak muda yang kian banyak muncul mutakhir ini, bagi menyuarakan pandangan dan menuntut perubahan daripada kerajaan.

Ini termasuklah gerakan seperti kempen bendera hitam yang tular baru-baru ini.

Gerakan itu hadir dengan tiga tuntutan yang perlu dipenuhi segera, iaitu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, mengadakan sidang Parlimen secara penuh dan penamatan darurat.

Dia berkata perubahan sistem sukar dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama antara individu, NGO, dan parti politik.

Selain isu demokrasi, isu terkini yang ditekankan Maria dan Ambiga adalah isu kesihatan yang semakin runcing di tengah wabak Covid-19.

Ambiga menzahirkan penghargaan melangit buat petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dan bertarung nyawa berdepan dengan wabak Covid-19, sementara ahli politik pula sibuk berpolitik.

“Mungkin selepas pandemik ini berakhir, kita boleh duduk sekali dan melihat bagaimana untuk kita mendapat pemimpin yang lebih baik,” katanya.

Pada akhirnya, rata-rata panelis mengakui bahawa perubahan bukan proses yang mudah, sebaliknya memakan masa yang panjang.

Kata Thomas, rakyat perlu terus mara ke hadapan kerana tekanan untuk menekan perjuangan akan terus wujud.

Bagi Wong pula, pada perhimpunan Bersih 2.0 sedekad yang lalu, dia menyangka Malaysia yang baru telah lahir. Namun, katanya lagi, dia ternyata silap.

Katanya, Malaysia baru - atau digelarnya Malaysia 2.0 - hanya disenyawakan (conceived) pada hari bersejarah itu.

Suatu hari nanti, apabila tiba masanya, Malaysia baru yang diimpikannya akan lahir juga, katanya lagi.

Tiada ulasan: