Selasa, 27 Julai 2021

Jumlah pesakit di ICU pertama kali lepasi 1,000, kematian 207

MGF04062021_COVID-ICU-HKL-203
Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2021. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat melebihi 1,000 dengan 1,009 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes kritikal itu adalah jumlah paling tinggi dicatatkan setakat ini.

Katanya, jumlah kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan pula adalah sebanyak 524 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan hari ini berjumlah 165,840.

“Angka korban yang dilaporkan hari ini turut merekodkan jumlah tertinggi iaitu 207 menjadikan keseluruhan kes meninggal dunia akibat Covid-19 iaitu 8,201.

“Jumlah kes sembuh turut mencatatkan bilangan yang tinggi iaitu 9,372 kes menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuh 853,913 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan, sebanyak 14,516 kes positif harian baharu dilaporkan hari ini yang mana 14,513 merupajan penularan tempatan manakala tga lagi kes import.

Johor dan Kedah mula menunjukkan peningkatan apabila masing-masing melebihi empat digit iaitu 1,449 dan 1,160 kes. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: