Rabu, 14 Julai 2021

Jadikan lebih banyak hotel pusat kuarantin berisiko rendah, kata Ahli Parlimen

Penggunaan hotel di Lembah Klang sebagai pusat kuarantin berisiko rendah perlu 
dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan teruk susulan peningkatan mendadak 
jumlah kes Covid-19.

PETALING JAYA: Lebih banyak hotel di Lembah Klang perlu dibenarkan bertukar menjadi pusat kuarantin berisiko rendah bagi mengurangkan kesesakan melampau di pusat kuarantin sedia ada susulan peningkatan mendadak kes jangkitan, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

Inisiatif berkenaan berupaya mengurangkan sebahagian kerugian yang ditanggung pengusaha hotel yang teruk terjejas akibat pandemik, selain berdepan banyak kekangan yang meminimumkan aktiviti pelancongan sejak 18 bulan lalu berikutan penutupan sempadan negara termasuk perjalanan antara negeri dan daerah.

Ong berkata, inisiatif berkenaan juga boleh membantu pusat kuarantin sedia ada menampung pertambahan jumlah pesakit Covid-19 baharu sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, pengubahsuaian proses dengan membenarkan pesakit kategori satu dan dua dinilai secara jarak jauh dari rumah juga boleh merendahkan jumlah penilaian strain Covid-19 di pusat pemeriksaan selepas mengambil kira situasi yang berlaku di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Selangor, yang tular baru-baru ini di media sosial.

“Beberapa hotel di Lembah Klang sudah ditukar kepada pusat kuarantin membabitkan pesakit Covid-19 berisiko rendah. Ia termasuk Saujana Subang, Royal Chulan KL, SILKA Cheras dan terbaharu, resort hotel di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Justeru, lebih banyak hotel di Lembah Klang dibenar ditukar menjadi pusat kuarantin berisiko rendah, termasuk merangkumi hotel bajet,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selepas penukaran berkenaan, Ong berkata, pihak hotel perlu disokong dengan penyediaan pegawai perubatan, dengan kos ditanggung penghuni.

“Hotel ini perlu mempunyai jumlah minimum bilik (sekurang-kurangnya 50 dalam perkiraan saya) untuk memudahkan pertubuhan penjagaan kesihatan dan kakitangan mereka menyediakan perkhidmatan perubatan kepada pesakit di pusat terbabit.

“Kementerian kesihatan sudah pun menyediakan garis panduan bagi proses perubatan yang perlu dilaksana di pusat kuarantin untuk menjaga kesihatan pesakit,” katanya.

Tiada ulasan: