Isnin, 12 Julai 2021

Isu kakitangan kesihatan kontrak dijangka selesai Rabu ini

KUALA LUMPUR: Polemik petugas kesihatan kontrak diyakini dapat diselesaikan secara harmoni menerusi mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Vijay Ganasan, menaruh keyakinan sedemikian selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF), masing-masing pada Isnin lalu serta 25 Jun lalu.

Beliau berkata, inti pati perbincangan bersama dua kementerian itu antara lain menyaksikan kerajaan prihatin terhadap nasib lebih 23,000 kakitangan kesihatan kontrak di negara ini, sejak skim berkenaan dilaksanakan pada Disember 2016.

"Perbincangan dengan KKM dan MOF tempoh hari sangat baik, berbanding yang pernah diadakan sebelum ini.

"Justeru, kita kekal optimis bahawa akan ada berita baik berhubung isu kakitangan kesihatan kontrak selepas mesyuarat Kabinet, Rabu ini," katanya pada sidang media secara dalam talian, hari ini.

Selain rangka penyelesaian yang bakal diumumkan selepas mesyuarat Kabinet, Rabu ini, Dr Vijay berkata, isu skim kakitangan kesihatan secara kontrak sewajarnya dibentangkan untuk diperhalusi pada sidang Parlimen, hujung bulan ini.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pendekatan terbaik bagi memastikan kualiti dan kelestarian perkhidmatan kesihatan tidak terjejs, meskipun negara dilanda pandemik seperti COVID-19.

"Kita setuju bahawa pengambilan jawatan tetap perlu dibuat bersandarkan merit, memandangkan kebolehlaksanaan pelantikan secara automatik memang tidak mempunyai asas walaupun bagus.

"Bagaimanapun, kita minta supaya kerajaan memperincikan merit atau kriteria yang jelas bagi melayakkan seseorang kakitangan kontrak dilantik ke jawatan tetap.

"Ini bagi memastikan setiap kakitangan kesihatan kontrak mempunyai hala tuju dan tahu prasyarat yang perlu dipenuhi sebelum mereka berupaya dilantik ke jawatan tetap," katanya.

Mengenai gerakan 'kod hitam', Dr Vijay menjelaskan, ia bukan isyarat untuk melancarkan mogok dalam kalangan petugas perkhidmatan kesihatan, sebaliknya sekadar tanda solidariti berhubung isu kakitangan kontrak.

Berdasarkan pemantauan, beliau berkata, lebih 15,000 kakitangan kesihatan tetap dan kontrak menunjukkan solidariti dengan mengenakan pemakaian hitam, sama ada secara fizikal atau menerusi media sosial.

Sementara itu, Presiden MMA, Prof Datuk Dr M Subramaniam, pula menjelaskan pihaknya tidak menyokong sebarang gerakan mogok dalam kalangan petugas kesihatan atau cuba menentang kerajaan dan pentadbiran negara.

Sebaliknya, beliau berkata, perjuangan berhubung isu kakitangan kesihatan kontrak ialah demi memastikan manfaat rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital, klinik dan kemudahan berkaitan tidak terjejas.

"Saya memang optimis mengenai penyelesaian yang bakal diutarakan kerajaan Rabu ini kerana kita mahukan sistem perkhidmatan kesihatan yang dapat berfungsi dengan baik ketika negara dilanda pandemik COVID-19," katanya

Tiada ulasan: