Rabu, 21 Julai 2021

Bekas pegawai Wisma Putra bidas duta AS ke Malaysia

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
BRIAN MCFEETERS

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan Wisma Putra mempersoalkan kenyataan dikeluarkan oleh Duta Amerika Syarikat (AS) ke negara ini, Brian McFeeters mengenai peranan Kementerian Luar dalam satu temubual dengan media tempatan baru-baru ini.

Ia berkenaan kenyataan McFeeters bahawa hubungan Washington-Kuala Lumpur menerusi Kementerian Luar Negeri adalah ‘jauh lebih baik berbanding 10 tahun lalu’.

Pada masa sama, Duta itu membangkitkan `kesibukan’ Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang katanya perlu dibantu oleh orang sekeliling untuk menjalankan tugasnya sebagai menteri.

Bercakap kepada Utusan Online, bekas pegawai yang enggan dinamakan itu turut menyifatkan kenyataan sedemikian berniat untuk `mencari publisiti’ dan menghantar isyarat kepada negara lain yang mengikuti jalinan hubungan antarabangsa secara rapat antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Duta ini perlu menjelaskan apa yang beliau maksudkan. Pelbagai inisiatif telah diusahakan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (selama ini) termasuklah dalam ekonomi dan pelaburan serta pendidikan.

“Adakah beliau bermaksud bahawa hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat sebelum ini tidak baik dan adakah beliau juga bermaksud pendahulunya (menteri sebelum Hishammuddin) gagal menjalankan tugas mereka?

“Selain itu, nampaknya beliau cuba menunjukkan bahawa Menteri Kanan Luar Negeri kita tidak mempunyai pegawai berkebolehan dan kakitangan untuk menyokongnya,” soalnya hari ini.

McFeeters dalam satu temubual bersama media tempatan baru-baru ini menyentuh mengenai prestasi Hishammuddin yang kini bertanggungjawab dalam kluster keselamatan, sekali gus akan membantu Perdana Menteri dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam temubual itu, Duta Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur dipetik sebagai berkata: “Kami sedang menunggu untuk mempelajari bagaimana ia (Kementerian Luar Malaysia) berfungsi. Kami mempunyai hubungan baik dengan Kementerian Luar Negeri berbanding 10 tahun yang lalu. Kami dahulunya tidak mempunyai hubungan yang lebih rapat.

“Saya mengharapkan perkara itu berterusan. Seseorang seperti Menteri Hishammudin sudah sibuk dan sekarang dia akan menjadi lebih sibuk. Mudah-mudahan, dia mempunyai orang di sekelilingnya yang dapat menolong semua tugas tersebut.”

Menyorot semasa pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Donald Trump, bekas pegawai kanan itu berkata pentadbiran kedua-dua pemimpin dengan Kuala Lumpur berjalan dengan baik.

Ini dibuktikan semasa sesi lawatan Obama ke Malaysia dan semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pada tahun 2014 dan 2015, malah Kuala Lumpur ketika itu menerima tiga Setiausaha Negara Amerika Syarikat berbeza iaitu Hillary Clinton, John Kerry and Rex Tillerson.

“Jadi, di mana dan bila ia lebih baik sekarang? Pada masa itu juga pelbagai inisiatif dan kerjasama antara pentadbiran Najib dengan Amerika Syarikat di bawah kedua-dua pentadbiran Obama dan Trump.

Antara lain, katanya, Donald Trump turut menjemput Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri pada masa itu untuk satu sidang mesyuarat di White House.

“Kunjungan ini hanya satu daripada kebanyakan contoh dan sudah cukup membuktikan hubungan dua hala antara negara sangat baik pada masa itu.

“Kedua-dua negara menghargai dan mengalu-alukan peningkatan interaksi antara dua negara termasuk pelbagai pertukaran lawatan di peringkat Kabinet malah mendorong dialog berterusan di pelbagai peringkat.

“Kedua-dua pihak juga bertekad untuk meneruskan pelaksanaan perkongsian secara komprehensif melalui rundingan berkala,” katanya.

Selain itu, kata bekas pegawai kanan Wisma Putra itu lagi, Obama turut memuji peranan utama Malaysia dalam memudahkan proses perdamaian Bangsamoro di selatan Filipina yang membawa kepada pemeteraian perjanjian komprehensif di wilayah autonomi Islam negara itu baru-baru ini.

Jelasnya, terdapat hubungan ekonomi yang kuat antara Malaysia dan Amerika Syarikat termasuk hubungan bilateral selain Amerika Syarikat sendiri merupakan sumber pelaburan asing terbesar ketika itu.

Jelasnya lagi, Obama dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut meraihkan kejayaan program Fulbright English Teaching Assistant (ETA) yang merupakan program kerjasama Malaysia dan Amerika Syarikat dengan penyertaan seramai 14 orang guru didatangkan khas dari Amerika Syarikat.

“Kedua-dua pemimpin menyamakan program ini dengan program Peace Corps yang berjalan selama dua dekad di Malaysia malah bersetuju supaya program ini dipanjangkan selama tiga tahun tetapi dihentikan secara tiba-tiba kepada program pada bulan Mac tahun lalu akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Bekas pegawai kanan itu turut mengulas mengenai inisiatif bersama lain iaitu lapan pusat Lincoln Corners di enam negeri di Malaysia, dan Kuala Lumpur berperanan sebagai tuan rumah bagi ratusan program pendidikan dan mempromosikan hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Katanya lagi, Malaysia juga mempunyai hubungan di peringkat universiti dan kedua-dua pihak negara komited untuk meningkatkan kerjasama penyelidikan dan kajian antara institusi pengajian tinggi di negara ini dan Amerika Syarikat.

“Mereka juga menekankan pentingnya meningkatkan keupayaan belia terutama dalam mempromosikan keusahawanan, perlindungan alam sekitar, pendidikan, dan penyertaan sivik di Malaysia dan di seluruh wilayah, termasuk melalui program seperti Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) dan kegiatan di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).

“Selain itu, kekayaan warisan budaya negara juga dipamerkan melalui pertukaran pameran di muzium dan galeri seni di kedua-dua negara selain penubuhan Yayasan Malaysia-Amerika (MAF),” katanya.

Dalam pada itu, bekas pegawai kanan Wisma Putra itu berharap hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat berterusan dalam keadaan yang sangat mencabar akibat pandemik Covid-19 waktu ini.

“Bagaimanapun, untuk mengatakan hubungan dua hala antara negara adalah lebih baik berbanding 10 tahun lalu adalah mengelirukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: