Sabtu, 24 Julai 2021

Alhamdulillah, kita berjaya vaksinasi harian tertinggi 507,050 dos – PM

MGF110621_PUSAT-VAKSIN-BERGERAK_10
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian tertinggi sebanyak 507,050 dos setakat semalam, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian tertinggi sebanyak 507,050 dos setakat semalam, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah individu yang telah menerima dos pertama sehingga semalam ialah 10,920,862 dan sejumlah 5,104,054 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Alhamdulillah semalam, kita telah berjaya mencapai kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini iaitu 507,050 dos.

“Sukacita saya juga ingin mengumumkan bahawa seramai 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8 peratus pula telah mendapat dos yang penuh.

“Pencapaian ini selari dengan sasaran yang ditetapkan dan sudah semestinya perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya hari ini.

Sejak 12 Julai 2021, PICK berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari.

215551132_4232116786866848_935352902249080203_nBagaimanapun itu rekod itu dipecahkan lagi apabila sebanyak 507,050 dos telah diberikan kepada rakyat Malaysia setakat semalam, meliputi 335,977 dos pertama dan 171,073 bagi dos kedua.

Daripada jumlah itu, Selangor merupakan penerima vaksinasi tertinggi dengan 95,278 dos pertama dan 35,944 bagi dos kedua, manakala Kuala Lumpur pula sebanyak 56,524 dos pertama dan 31,944 dos kedua.

Muhyiddin juga berkata, dengan rekod vaksinasi itu, ia dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan kes-kes jangkitan yang teruk, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan terhadap PICK, terutamanya kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang membantu melancarkan pelaksanaan program ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: