Khamis, 22 Julai 2021

25 Ogos sebutan serahan dokumen lanjut Syed Iqmal

 Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN

SYED IQMAL

PETALING JAYA – Sebutan semula kes bagi serahan dokumen lanjutan pertuduhan cabul dan persetubuhan luar tabii yang dihadapi pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful di Mahkamah Sesyen di sini dijadualkan 25 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal ,26, ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut peguam itu, tarikh 25 Ogos ditetapkan mahkamah selepas sebutan kes berkenaan yang sepatutnya disebut pada 15 Jun lalu dan 22 Julai (hari ini) ditangguh.

“Mahkamah kemudian telah memberikan tarikh baharu bagi sebutan semula kes itu yang dijadualkan pada 25 Ogos ini,” katanya.

Dalam prosiding 28 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat yang mendengar prosiding ketika itu menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan memaklumkan terdapat satu dokumen masih belum dapat diserahkan iaitu melibatkan laporan perubatan mangsa.

Sebelum ini pada 19 Mac lalu, kes cabul yang dihadapi Syed Iqmal dibenar dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen selepas Majistret Muhammad Iskandar Zainol membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes itu dipindahkan.

Semasa didakwa pada 10 Disember tahun lalu, di Mahkamah Sesyen, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Majistret ketika itu juga pendakwah tersebut didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan

Sementara itu, bagi pertuduhan kes rogol di Mahkamah Sesyen Shah Alam, peguam itu turut memaklumkan tarikh baharu yang ditetapkan ialah pada 2 Ogos ini.

Pada 16 Mac lalu, di mahkamah itu pendakwaan sudah menyerahan kepada pembelaan dua dokumen berkaitan laporan perubatan bagi kes rogol Syed Shah Iqmal yang didakwa atas petuduhan merogol seorang wanita dua tahun lalu. – K! ONLINE

Tiada ulasan: