Isnin, 12 Julai 2021

22,896 peniaga di Wilayah Persekutuan dapat pengecualian fi, sewa

Oleh Faris Fuad
 Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Seramai 22,896 peniaga termasuk 7,000 yang berniaga di Wilayah Bebas Berniaga (WBB) sekitar ibu negara mendapat manfaat pengecualian fi dan sewa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata inisiatif secara percuma itu diteruskan sepanjang tahun ini.

"Kementerian Wilayah Persekutuan meneruskan usaha meringankan beban peniaga. Selain itu, warga Wilayah Persekutuan belum dapat janji temu suntikan pertama (vaksin COVID-19) digalakkan hubungi Rumah Prihatin supaya dibantu segerakan urusan vaksinasi.

"Kita juga sedang menyusun tambahan trak vaksin bergerak untuk memudahkan lagi proses vaksin terutama untuk warga Kuala Lumpur," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline di 011 71107898 atau e-mel ke rumahprihatin@yayasanwp.org.my.

Annuar berkata, tidak mustahil untuk ibu negara dibuka lebih awal apabila sejumlah warga kota sudah selesai proses vaksinasi.

Katanya, mereka yang disuntik vaksin mungkin boleh bebas bergerak menjalankan aktiviti, manakala individu belum berbuat demikian perlu dikawal dan mengehadkan pergerakan.

"Lebih 1.8 juta suntikan dos satu dan dua dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Meskipun ia sudah melebihi 100 peratus membabitkan penduduk berusia 18 tahun ke atas, namun ada antara mereka bukan warga Kuala Lumpur.

"Masih ada warga Kuala Lumpur belum disuntik. Mereka digesa segera dapatkan vaksinasi," katanya.

Tiada ulasan: