Selasa, 13 Julai 2021

2 juta vaksin akan diagih ke Lembah Klang, N9, kata PM

Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan data pada 11 Julai keseluruhan kes 
jangkitan Covid-19 di Selangor berjumlah 286,352 manakala bagi Kuala 
Lumpur dan Putrajaya pula sebanyak 88,958 orang.

KLANG: Sebanyak dua juta dos vaksin Covid-19 yang dijangka tiba hujung bulan ini akan diagihkan ke kawasan Lembah Klang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan untuk mula digunakan pada awal Ogos nanti.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, agihan itu akan dibuat bagi membantu mempercepatkan usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 di kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata, bagi tujuan sama, semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sedia ada akan dioperasikan pada setiap hari dengan tambahan petugas telah dan sedang diuruskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mengambil kira kehadiran pesakit yang menghadapi masalah pernafasan, CAC juga akan dilengkapkan dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Muhyiddin berkata, berdasarkan data pada 11 Julai keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di Selangor berjumlah 286,352 orang manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya pula sebanyak 88,958 orang.

“Jumlah ini merangkumi 45% daripada keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes kematian akibat Covid-19 pula, jumlah yang dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 2,700 orang, iaitu 44% daripada keseluruhan kes kematian yang didaftarkan di seluruh negara.

Tiada ulasan: