Jumaat, 23 Julai 2021

1,232 waris keluarga meninggal dunia akibat COVID-19 terima bantuan wang ihsan

 Siti Hafidah

300 permohonan masih dalam proses kelulusan

PUTRAJAYA – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan RM6.16 juta di bawah Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 kepada 1,232 waris yang kematian ahli keluarga akibat COVID-19 setakat 19 Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Nadma setakat ini telah menerima kira-kira 1,500 permohonan daripada rakyat Malaysia untuk bantuan khas berkenaan.

“Bantuan ini untuk mengurangkan bebanan mereka kerana mungkin yang meninggal adalah ketua keluarga, sekurang-kurangnya kita boleh bagi bantuan segera,” katanya kepada media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Seroja, di sini hari ini.

Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 merupakan bantuan sekali bayar RM5,000 yang diberikan kepada waris individu yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Mohd Redzuan berkata, sebanyak 300 permohonan masih dalam proses kelulusan oleh Nadma.

“Proses (kelulusan) tu sentiasa berjalan, kadang-kadang maklumat dan verifikasi (untuk sesuatu permohonan) belum diterima,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: