Khamis, 10 Jun 2021

Warga emas kekal majoriti korban

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Malaysia masih merekodkan jumlah kematian akibat Covid-19 yang besar iaitu 75 kes dengan warga emas terus menjadi kelompok majoriti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus kekal menjadi penyumbang tertinggi korban Covid-19 iaitu 23 kes, 18 kes di Johor, tujuh kes di Kelantan, masing-masing lima kes di Kuala Lumpur dan Kedah, masing-masing tiga kes di Sabah, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak, dua kes di Perak, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Terengganu dan Labuan. 

“Seramai 47 lelaki dan 28 wanita termasuk satu warga asing berusia antara 26 hingga 92 tahun melibatkan 51 warga emas, 11 tiada latar belakang penyakit dan lima meninggal di rumah (BID).

“Antara penyakit yang dikesan adalah kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, obesiti, buah pinggang kronik, jantung, asma, paru-paru kronik, pituitary microadenoma, tuberkulosis, saraf, hati, strok dan multiple Myeloma,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Noor Hisham berkata, kes sembuh mencatatkan peningkatan iaitu 7,386 kes mengatasi 6,239 kes positif manakala Selangor kembali mencatatkan kes melebihi 2,000 kes iaitu 2,291 kes.

Katanya, kes aktif menunjukkan penurunan iaitu 81,575 kes berbanding semalam, 82,797 kes manakala terdapat 905 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 453 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Selain Selangor yang menjadi penyumbang terbesar kes harian Covid-19, Kuala Lumpur menjadi negeri kedua dengan 704 kes diikuti Negeri Sembilan (507), Johor (468), Sarawak (419), Kelantan (340) manakala Pahang dan Sabah, masing-masing 232 kes.

“Baki negeri merekodkan kes di bawah 200 kes iaitu Labuan (200), Pulau Pinang (194), Perak (175), Terengganu (171), Melaka (150), Kedah (135) manakala Putrajaya (17) dan Perlis (4),” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: